KEUPAYAAN generasi muda dalam menghasilkan inovasi berasaskan teknologi semakin menyerlah apabila pelajar sekolah di Sabah tampil mengenengahkan pelbagai idea kreatif bagi membantu menangani isu alam sekitar, keselamatan dan kesihatan masyarakat.

Menerusi program Sabah Maker Fair 2026 (Edisi Tawau), yang diadakan baru-baru ini, seramai 48 pasukan membabitkan sembilan sekolah rendah mencipta permainan digital bertemakan biodiversiti bagi mendidik pemain dan pencipta inovasi dalam melindungi hidupan liar, hutan, sungai, laut dan habitat semula jadi.
Enam sekolah menengah babitkan 20 pasukan pula mencipta penyelesaian menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi masalah sebenar dalam komuniti.
Bagi murid berusia 10 tahun daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu Keramat Tawau, Sharifah Maryam Syed Abdul Rahman dan Nur Alisya Nadirah Radin mengetengahkan permainan digital bertemakan pemulihan habitat di laut.
Sharifah Maryam berkata, projek berkenaan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan dengan bimbingan guru mereka.
Katanya, penyertaan kali kedua dalam pertandingan inovasi itu memberi mereka lebih banyak pengalaman menghasilkan permainan digital.
“Cikgu banyak bagi tunjuk ajar bagaimana untuk cipta inovasi pada kali ini. Kami ikut program ini untuk mengasah bakat dan fikiran dalam menghasilkan idea menarik.
“Kami sangat gembira dapat hasilkan inovasi ini. Kami juga dapat beri mesej menjaga alam sekitar kepada orang ramai yang hadir dalam program ini,” katanya kepada Utusan Pelajar, baru-baru ini.
Turut mencuri perhatian adalah permainan robot bernama Putong yang dihasilkan dua murid Tahun Enam SK Andrassy Tawau, Muhd Ielham Qushayyi Jumain dan Muhd. Muaz Mirza Arhan.

Robot itu dilengkapi alat pencengkam untuk mengambil objek yang menyerupai sampah sebelum memindahkannya ke kawasan pemulihan.
Muhd Ielham berkata, Putong digambarkan sebagai penjaga hutan yang kecewa selepas habitatnya dimusnahkan manusia.
“Putong kecewa kerana hutannya dimusnahkan manusia, jadi ia membersihkan hutan, selamatkan kawan-kawannya dan membantu menanam semula pokok.
“Robot ini diprogramkan menggunakan aplikasi mBlock supaya boleh bergerak ke hadapan, belakang, kiri dan kanan mengikut laluan ditetapkan serta boleh mengambil air dari sungai bagi menyiram pokok.
“Kami belajar asas pengaturcaraan dan pengekodan daripada guru sejak darjah tiga lagi manakala Teknologi AI seperti ChatGPT digunakan bagi membantu menghasilkan poster dan bahan asas projek,” ujarnya.
Projek bernilai lebih RM1,000 itu dibiayai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) manakala Muhd Ielham sebelum ini pernah menduduki kelompok lima terbaik dalam pertandingan robotik.
Sementara itu, tiga pelajar berusia 15 tahun daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak Jaya menghasilkan Smart Flood Monitoring and Alert System 2.0, iaitu sistem pintar bagi memantau paras air serta memberi amaran awal banjir dengan pantas kepada masyarakat.
Jurucakap kumpulan, Fatheena Az-Zainab Azlan berkata, sistem itu menggunakan pengesan paras air, teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
Sistem yang dibangunkan bersama dua rakannya Zara Farzana Muddazir dan Nuramira Nadia Zamzan itu turut dilengkapi siren, lampu jenis diod pemancar cahaya (LED), skrin OLED serta kamera jenis ESP32-CAM yang membolehkan keadaan di lokasi dipantau secara langsung.
“Apabila air mencapai paras berbahaya, sistem akan menghantar amaran melalui Telegram supaya penduduk dan pihak berkuasa dapat bertindak lebih awal,” katanya.
“Kami pilih inovasi ini selepas melalui sendiri pengalaman sendiri di daerah Kunak, khususnya kawasan kampung yang sering dilanda banjir kilat namun tiada alat pemantauan berhampiran sungai dan saliran hingga mengakibatkan ramai penduduk tidak sempat menyelamatkan barang-barang mereka.
“Kami berharap sistem ini dapat memberi amaran lebih cepat supaya penduduk mempunyai masa untuk menyelamatkan diri dan barangan mereka,” katanya.
Pasukan SMK Kunak Jaya itu pernah meraih Anugerah Emas menerusi inovasi yang sama versi pertama di Terengganu International Science Fair 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), April lalu.

Dalam aspek kesihatan dan keselamatan makanan pula, tiga pelajar Tingkatan Dua, dari SMK Tawau menghasilkan EthicAI iaitu aplikasi pintar yang membantu pengguna menyemak kandungan makanan, status halal serta bahan yang boleh mencetuskan alahan.
Aplikasi yang dibangunkan Isma Nursyaqira S. Mardi, Eryna Syaza Riezah Johari dan Nurul Syaurah Umairah Syuaib itu menggunakan teknologi pengecaman aksara optik (OCR) serta AI untuk membaca senarai ramuan pada bungkusan makanan.

Isma Nursyaqira berkata, pengguna hanya perlu mengimbas label menggunakan kamera telefon sebelum aplikasi menganalisis ramuan dan paparkan keputusan dengan segera.
Projek itu dibangunkan berdasarkan pengalaman ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah alahan, namun sering berdepan kesukaran menentukan produk atau makanan yang sesuai untuk diambil.
“EthicAI yang kami cipta mampu mengesan bahan seperti kekacang, produk tenusu, gluten dan makanan laut termasuk membantu pengguna mengenal pasti produk import atau makanan baharu yang sukar disemak menerusi aplikasi pengimbas biasa.
“Kami mengambil masa kira-kira dua minggu untuk siapkan projek ini dan menyasarkan keluarga, pengguna yang mempunyai alahan serta mereka yang mengutamakan pematuhan halal.
“Teknologi AI ini mempunyai banyak kebaikan dan keburukan bergantung kepada cara ia digunakan. Jadi kami memilih untuk menggunakan AI ke arah yang baik dengan menghasilkan aplikasi yang dapat membantu masyarakat membuat pilihan makanan dengan lebih selamat,” ujarnya.
Sementara itu Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal yang merasmikan program tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Holy Trinity Tawau berkata, hasil inovasi yang dipamerkan menunjukkan generasi muda semakin celik teknologi dan mampu memanfaatkan kemajuan digital ke arah yang positif.

Menurutnya, Malaysia tidak pernah terlambat untuk melahirkan generasi muda yang mampu menghasilkan inovasi bertaraf dunia
“Saya melihat sebahagian hasil inovasi yang dipamerkan bukan sahaja kreatif, malah mempunyai potensi komersial yang tinggi.
“Sesebuah idea yang bermula sebagai prototaip mampu dikembangkan menjadi produk sebenar jika diberikan sokongan, bimbingan dan peluang yang mencukupi,” katanya
Sementara itu seorang juri Muliyadi Guliling menyifatkan pertandingan tersebut baik kerana memberikan peluang kepada para pelajar untuk membentangkan hasil inovasi mereka.
“Pada masa sama, ia dapat membina keyakinan diri serta memantapkan kemahiran sains pelajar,” katanya yang juga pensyarah kanan UiTM. Cawangan Sabah Kampus Tawau –UTUSAN

