Institusi pendidikan, murid terbabit banjir laksana PdPR

Institusi pendidikan, murid terbabit banjir laksana PdPR

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terkesan banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) akan meneruskan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

KPM dalam kenyataannya menjelaskan, ia membabitkan sama ada semua murid berada di rumah ataupun sebilangan murid tertentu melaksanakan PdPR.

Ia berikutan, berdasarkan takwim kalendar akademik sesi 2024/2025, tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 2 2024/2025 adalah pada 22 September bagi negeri Kumpulan A dan 23 September bagi negeri Kumpulan B.

“Oleh itu, pihak sekolah akan memaklumkan mengenai perkara ini kepada ibu bapa atau penjaga murid yang terjejas.

“Bagi murid yang berada di PPS premis sekolah, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) untuk membantu murid mengenai aspek kaunseling dan pembelajaran,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pihaknya mengambil perhatian serius keprihatinan yang dizahirkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan situasi banjir di beberapa buah negeri yang berkemungkinan menjejaskan sesi persekolahan.

Katanya, enam institusi pendidikan membabitkan lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah masih dilanda banjir di Kedah sehingga semalam.

Selain itu katanya, sebanyak 36 institusi pendidikan masih dijadikan PPS membabitkan 20 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah iaitu 34 di Kedah dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Perak.

“Setakat ini, juga seramai 1,056 orang murid KPM masih berada di PPS premis sekolah, manakala di Perlis sudah pulih sepenuhnya dengan semua PPS premis sekolah ditutup,” katanya.

Susulan itu, KPM akan terus memantau situasi banjir, bersiap siaga dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warganya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top