georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Ismail Izzani, 24, sengaja ‘menghilang’ selama dua tahun kebelakangan ini kerana mahu meluangkan masanya bersama keluarga.
Ismail atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal Nazeri tidak menafikan banyak yang dia terlepas dan rindu kerana sibuk dengan karier nyanyian sejak berusia 16 tahun lagi.
“Saya bermula dalam industri muzik pada usia 16 tahun. Maksudnya waktu itu sudah bekerja dan masa bersama keluarga memang sangat terhad.
“Saya pun sudah tinggal sendiri pada usia 17 tahun. Dari situ pun memang kerap rindulah. Jadual persembahan dulu pun ke sana-sini menjadikan masa sangat terhad.
“Jadi bila dapat masa itu terutama selepas Covid-19 yang merubah banyak hal dan persekitaran. Cara bekerja sebagai pengkarya pun lain sekarang dengan kehadiran aplikasi tertentu.
“Jadi, masa dua tahun saya rehat itu, seronok dapat luangkan masa khususnya bersama ibu,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sabar itu menyedari dia perlu luangkan lebih banyak masa dengan keluarga buat masa ini. Lebih-lebih lagi dia sudah ada anak saudara berusia tiga tahun.
“Seronok bila sudah ada penghibur kecil dalam keluarga. Keluarga saya pun kecil. Jadi, dengan kehadirannya, kami banyak habiskan masa di rumahlah,” katanya yang melancarkan lagu Iman baru-baru ini.
Ismail bagaimanapun tidak melupakan mengenai kerjaya muziknya. Dalam tempoh itu, dia banyak meneroka suasana ‘underground’ untuk luaskan lagi ilham karyanya.
“Untuk mencari bunyi dan genre tepat buat saya bukan mudah. Setahun juga saya luangkan masa dengan acara-acara ‘underground’ tahun lalu. Saya nak kaji jenis muzik apa yang mereka sangat suka dan corak persembahan bagaimana.
“Sekarang memang berbeza lagi-lagi bila sudah ada TikTok. Kita boleh nampak ramai sangat bakat di luar sana yang kreatif. Saya kena cabar diri lagi terokainya sambil berehat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




