Ipswich kembali ke EPL

Ipswich kembali ke EPL

London: Ipswich Town mengesahkan kepulangan segera ke Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Queens Park Rangers 3-0, sekali gus mengekang cabaran Millwall, manakala Wrexham terlepas aksi play-off.

The Tractor Boys memiliki peluang di tangan sendiri untuk menamatkan saingan di tempat kedua EFL Championship dan dua gol dalam 10 minit pertama menerusi George Hirst serta Jaden Philogene mencetuskan suasana pesta awal di Portman Road.

Kasey McAteer melengkapkan kemenangan lima minit sebelum tamat perlawanan ketika Ipswich menyertai Coventry City di liga utama musim depan.

Ipswich bergelut musim lalu dalam kemunculan semula ke EPL buat kali pertama selepas 22 tahun, namun berharap pengalaman itu memberi kelebihan untuk menghadapi cabaran akan datang.

Walaupun hanya menang empat daripada 38 perlawanan liga musim lalu, kelab itu terus memberi kepercayaan kepada pengurus Kieran McKenna.

Bekas pembantu pengurus Manchester United itu kini berjaya membawa kelab tersebut meraih tiga promosi dalam tempoh empat musim.

“Ini mungkin yang paling sukar, jadi ia sangat bermakna. Kami membina semula pasukan dalam keadaan mencabar dan semua terus berusaha. Kami layak berada di tahap ini,” kata McKenna.

Kemenangan mudah Ipswich memusnahkan harapan Millwall untuk kembali ke liga utama buat kali pertama sejak 1990.

The Lions menewaskan Oxford United 2-0 untuk mengesahkan tempat ketiga dan akan bertemu Hull City dalam aksi separuh akhir play-off, Jumaat ini.

Wrexham pula terlepas peluang mencipta promosi keempat berturut-turut di bawah pemilikan pelakon Hollywood Ryan Reynolds dan Rob McElhenney selepas seri 2-2 dengan Middlesbrough.

Keputusan itu membolehkan Hull memintas ke tangga keenam selepas menang 2-1 ke atas Norwich City.

Southampton muncul antara pasukan pilihan untuk kembali ke EPL menerusi play-off selepas mencatat 19 perlawanan tanpa kalah.

Kemenangan 3-1 ke atas Preston North End meletakkan mereka di tangga keempat dan memberi kelebihan beraksi di laman sendiri bagi aksi kedua separuh akhir menentang Middlesbrough.

Harapan Derby County untuk menamatkan saingan dalam kelompok enam terbaik musnah selepas tewas 1-2 kepada Sheffield United.

Sheffield Wednesday yang sudah sah tersingkir ke divisyen ketiga sejak Februari, tetap menutup musim dengan kemenangan 2-1 ke atas West Bromwich Albion.

Ia adalah kemenangan pertama mereka sejak September selain menamatkan musim tanpa sebarang mata selepas dikenakan potongan 18 mata.

Kelab itu turut mengumumkan pengambilalihan oleh konsortium Amerika Syarikat, Arise Capital Partners, sekali gus mengelak potongan 15 mata bagi musim depan.

Juara liga, Coventry City menutup musim dengan 95 mata selepas anak buah Frank Lampard membelasah Watford 4-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top