DUBAI: Iran pada Khamis memberi amaran kepada semua kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz supaya menggunakan laluan pelayaran yang diluluskan oleh negara itu atau berdepan tindak balas tegas daripada angkatan tenteranya.
Amaran itu sekali gus meningkatkan semula ketegangan di laluan perkapalan yang menjadi nadi bekalan tenaga dunia.
Ia dikeluarkan oleh Markas Tentera Khatam al-Anbiya dan disiarkan menerusi televisyen kerajaan Iran selepas diplomat Amerika Syarikat (AS) serta Iran mengadakan rundingan tidak langsung dengan pengantara di Qatar bagi mencari penyelesaian kekal kepada perang antara kedua-dua negara.
“Iran menegaskan mana-mana kapal yang gagal mematuhi laluan ditetapkan atau mengabaikan protokol pelayaran Republik Islam Iran di Selat Hormuz akan menerima tindak balas segera dan tegas daripada angkatan bersenjata kami. (Ia) sekali gus membahayakan keselamatan kapal yang melanggar arahan berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Iran turut memberi amaran sebarang campur tangan tentera AS di Selat Hormuz akan dibalas dengan tindakan pantas dan tegas.
Selat Hormuz, yang merupakan pintu masuk sempit ke Teluk Parsi, kini menjadi antara isu utama dalam rundingan damai berikutan kepentingannya sebagai laluan utama penghantaran minyak dan gas ke pasaran antarabangsa.
Tidak dapat dipastikan punca yang mencetuskan amaran Iran berhubung pergerakan kapal tangki minyak di Selat Hormuz.
Namun, Markas Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM) sebelum itu mengeluarkan kenyataan mengenai pertemuan dengan pegawai dari beberapa negara Asia Barat di Bahrain yang menyatakan para pemimpin menegaskan komitmen bersama mereka untuk memastikan aliran bebas perdagangan melalui Selat Hormuz.
Frasa itu dipercayai menjadi antara faktor yang mencetuskan kemarahan Iran.
Berdasarkan perjanjian sementara yang dimeterai sebelum ini, Iran dan AS bersetuju membenarkan kapal melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan bayaran selama 60 hari.
Bagaimanapun, Teheran menegaskan ia berhak mengawal laluan kapal-kapal berkenaan dan mengenakan bayaran selepas tempoh itu, sekali gus mengubah amalan pelayaran sejak beberapa dekad lalu.
AS dan kebanyakan negara Arab Teluk menolak cadangan Iran untuk mengenakan caj kepada kapal yang melalui selat berkenaan.
Sementara itu, Iran sedang membuat persiapan bagi upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi negara itu, Ali Khamenei, yang terbunuh pada peringkat awal perang pada Februari lalu.
Media kerajaan menyiarkan rakaman ketibaan keranda yang membawa jenazah Khamenei di Imam Khomeini Hussainiya bagi majlis penghormatan terakhir.
Ratusan orang dilihat berkumpul berhampiran keranda yang diselubungi kain hijau sambil berdoa dan berkabung.
Upacara pengebumian rasmi selama seminggu bermula hari ini.
Jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Tahir Andrabi berkata, rundingan antara Iran dan AS di Qatar pada Rabu menunjukkan perkembangan yang positif dan pihaknya berharap pusingan rundingan seterusnya dapat diadakan secepat mungkin selepas upacara pengebumian Khamenei selesai. – AGENSI




