
Gambar fail menunjukkan peluru berpandu balistik Ghadr milik Iran. Foto: Agensi
TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) di Lautan Hindi, yang terletak lebih 600 kilometer dari sempadan Iran.
Menurut kenyataan rasmi IRGC pada Selasa, serangan itu dilakukan menggunakan peluru berpandu balistik jarak sederhana Ghadr-380 serta peluru berpandu kruis strategik Talaieh.
IRGC memaklumkan kapal perang berkenaan sedang melakukan pengisian minyak daripada sebuah kapal tangki AS ketika diserang.
Serangan itu didakwa mencetuskan kebakaran besar di atas kedua-dua kapal.
Peluru berpandu Ghadr mempunyai jarak jangkauan sehingga 2,000 kilometer dan direka untuk serangan tepat serta pelancaran pantas.
Manakala sistem peluru berpandu Talaieh pula mampu mengenai sasaran sejauh 1,000 kilometer serta berkeupayaan menukar sasaran ketika dalam penerbangan.
Serangan tersebut merupakan sebahagian daripada operasi ketenteraan IRGC yang dinamakan Janji Benar 4, yang menurut Teheran dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan baharu Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran sejak Sabtu lalu.
IRGC turut mendakwa telah menyasarkan pelbagai kepentingan AS di Asia Barat, termasuk di Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.
Dalam kenyataan berasingan sebelum ini, IRGC juga mendakwa telah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah kapal pengangkut pesawat AS, USS Abraham Lincoln, sebagai sebahagian daripada operasi berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak tentera Amerika Syarikat mengenai dakwaan kerosakan atau kebakaran melibatkan kapal perang mereka.
Konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel kini terus memuncak, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan peperangan yang lebih meluas di rantau Asia Barat dan perairan sekitarnya. – Agensi



