Ismail Sabri memang layak jadi PM – Penduduk Bera

Ismail Sabri memang layak jadi PM – Penduduk Bera

BERA – Hari ini, Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan setelah mendapat sokongan majoriti dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selain menggembirakan ahli dan penyokong parti – berita baik itu sudah tentu dikongsi bersama penduduk di sini yang mana Naib Presiden UMNO itu sudah menjadi ahli parlimen di kawasan itu sejak tahun 2004 lagi.

Bagi pemilik restoran, Khairul Amin Muhammad Tahir menyifatkan Ismail Sabri Yaakob memang layak untuk untuk mentadbir negara dengan pengalaman prestasi yang konsisten.

Khairul Amin Muhammad Tahir

Baginya,  wakil rakyat itu menjaga Parlimen Bera dengan baik kerana mudah didekati semua lapisan masyarakat dan kerap meninjau keperluan penduduk.

“Kalau Datuk Seri balik dari Kuala Lumpur, menjadi kebiasaannya berkumpul dengan ahli-ahli UMNO selepas solat Jumaat. Rasa bersyukur sudah melihat berapa tahun pentadbiran di Bera, memang suka bantu, rendah diri dan bersifat cakna dengan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

BACA: Hasrat Ismail Sabri 20 tahun dulu jadi kenyataan

Menurut Khairul Amin, Ismail Sabri di matanya seorang yang sentiasa tenang dan dan banyak memberi sokongan kepada golongan belia dan usahawan muda.

“Waktu dia jaga Kementerian Belia dan Sukan, dia banyak bantu saya dan membantu peniaga dengan menjalankan konsep menghapuskan orang tengah, serta memberi peluang kepada usahawan untuk ke depan,” katanya lagi.

Selain itu, katanya, pencapaian beliau dalam menangani krisis Covid-19 juga wajar diberi sokongan dan kepercayaan kerana Ismail Sabri memperlihatkan pencapaian yang sangat cemerlang.

Baginya, maklumat disampaikan seperti dari hati ke hati tanpa selindiung dan menceritakan masalah sebenar yang sedang dilalui.

“Dia memaklumkan situasi tanpa berselindung, cerita realiti keadaan dan perlu dikekalkan momentum.

“Setiap hari saya setia tunggu di hadapan televisyen menantikan sidang media, selalu dengar celoteh Pak Long sejelas-jelasnyaa”.

Timah Abdullah

Manakala bagi Timah Abdullah , 70 tahun menyifatkan Perdana Menteri kesembilan itu seorang yang komited, rajin bekerja dan mesra dengan masyarakat.

Tambah Timah,sepanjang 40 tahun menetap di Bera, beliau menyaksikan pembangunan dan kemajuan di daerah itu serta usaha perkembangan yang dilakukan oleh Datuk Seri Ismail Sabri sepanjang menjaga Parlimen Bera.

“Senang didekati, sesiapa sahaja boleh jumpa Datuk Seri, dengan rakyat elok, merata pergi dengan rakyat.

“Beliau memang memberi contoh yang elok, suka sangat kalau Ahli Parlimen Bera kita menjadi Perdana Meneteri Malaysia ke-9”. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong berkenan lantik Ismail Sabri jadi PM

Scroll to Top