Israel didakwa kerah pasukan rahsia ke Azerbaijan ketika perang Iran

Israel didakwa kerah pasukan rahsia ke Azerbaijan ketika perang Iran

WASHINGTON – Israel didakwa secara rahsia mengerahkan unit elit tentera dan perisikan ke Azerbaijan semasa konflik dengan Iran sebagai sebahagian daripada rangkaian operasi sulit yang diwujudkan di beberapa negara Asia Barat bagi menyokong serangan terhadap Teheran.

Menurut laporan CNN yang memetik empat sumber yang mengetahui perkara itu, pasukan berkenaan ditempatkan di beberapa lokasi di selatan Azerbaijan, berhampiran sempadan utara Iran dan hanya kira-kira 96 kilometer dari bandar Tabriz yang menjadi antara sasaran serangan Israel ketika perang tersebut.

Sumber itu mendakwa pasukan komando khas turut menjalankan misi pengumpulan risikan dan operasi dron dari kawasan berkenaan, sekali gus memberi kelebihan strategik kepada Israel untuk memantau pergerakan di utara Iran.

Laporan itu menyatakan penempatan tersebut merupakan sebahagian daripada beberapa pangkalan dan lokasi operasi rahsia yang didakwa diwujudkan Israel di rantau berkenaan, termasuk di Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Somaliland.

Pada peringkat awal, pasukan yang dihantar itu dikatakan berperanan sebagai unit penyelamat sekiranya berlaku kecemasan, namun skop tugas mereka kemudian diperluaskan kepada operasi ketenteraan dan pengumpulan risikan.

Menurut salah satu sumber, operasi di Azerbaijan melibatkan beberapa puluh anggota termasuk pasukan operasi khas Israel, unit elit penyelamat udara serta pegawai agensi perisikan Mossad.

Bagaimanapun, Kedutaan Azerbaijan di Amerika Syarikat menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan wilayah negara itu tidak digunakan untuk operasi ketenteraan terhadap mana-mana negara lain.

Selepas laporan CNN diterbitkan, Agensi Pembangunan Media Azerbaijan turut mengeluarkan kenyataan menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai maklumat yang direka untuk mencetuskan ketegangan serantau serta mengganggu hubungan antara negara.

Menurut laporan itu lagi, Somaliland yang terletak di ‘Tanduk Afrika’ turut didakwa menyediakan kemudahan kepada Israel sebagai lokasi persinggahan berpotensi bagi pesawat yang melakukan penerbangan jarak jauh ke Iran.

Selain itu, Israel juga dikatakan mengekalkan dua kemudahan rahsia di Iraq sepanjang sebahagian tempoh perang bagi tujuan sokongan logistik dan operasi mencari serta menyelamat.

CNN turut melaporkan Israel pernah menempatkan sistem pertahanan udara ‘Iron Dome’ di UAE semasa konflik berkenaan, selain beberapa aset pertahanan lain.

Memetik laporan CNN, hubungan rapat antara Israel dan Azerbaijan sejak sekian lama dianggap penting dari segi kerjasama ketenteraan, tenaga dan perkongsian risikan.

Azerbaijan merupakan antara pembekal utama minyak kepada Israel, manakala Tel Aviv pula membekalkan pelbagai sistem persenjataan canggih kepada negara Caucasus itu.

Penganalisis kanan Crisis Group, Joshua Kucera berkata, hubungan tersebut turut memberi kelebihan diplomatik kepada Azerbaijan yang berusaha menampilkan dirinya sebagai kuasa serantau serta penghubung antara Israel dan beberapa negara lain di rantau berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya benar kerjasama itu digunakan untuk mengekang aktiviti Iran, ia dilakukan secara sangat sulit dan tidak diumumkan kepada umum. – Agensi

Mesti Baca

Scroll to Top