Isteri Meninggal Dunia Ketika Melahirkan Anak, Suami ‘Menyusul’ Dua Minggu Kemudian | Oh! Media

Isteri Meninggal Dunia Ketika Melahirkan Anak, Suami ‘Menyusul’ Dua Minggu Kemudian | Oh! Media

Tular di media sosial perkongsian pemilik akaun TikTok Abam Botak mengenai seorang suami yang ‘menyusul’ pergi selepas dua minggu isteri meninggal dunia.

Dalam video itu, Abam Botak merakam suasana pilu ketika pengurusan jenazah mendoakan semoga Allah SWT menjaga anak-anak arwah yang masih kecil.

Minggu lalu isterinya meninggal dunia, arwah yang hubungi saya untuk pengurusan jenazah isterinya. Saya tidak sangka si suami menyusul pula hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian, arwah yang dikenali sebagai Safry Roslan didapati tidak sedarkan diri di rumah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan Sabah.

Menurut adik arwah iaitu Jefrie Roslan, abangnya tidur lebih kurang jam 12 malam dan beberapa kali mengigau sehingga terpaksa dibangunkan.

Katanya, arwah abang kerap bermimpi dan mengigau sejak isterinya Airyn Darwisa Rudy meninggal dunia pada 30 Julai ketika sedang melahirkan zuriat yang keempat.

Tidak lama kemudian, tiada kedengaran suara dia mengigau dan terus senyap. Kami pantau keadaannya tetapi dia seperti tidak sedarkan diri.

Dia sedar sekejap dan menarik nafas kemudian diam. Dalam tiga kali dia begitu.

Ketika itu, dia melihat keadaan abang pucat dan keluarga terus membawanya ke hospital. Di hospital, doktor memberitahu abang kritikal dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.50 pagi.

meninggal dunia
Foto: Sinar Harian

Menceritakan dengan lanjut, abangnya pada Isnin lalu kelihatan sihat dan keluar bekerja seperti biasa.

Namun, arwah dikatakan bersikap pelik apabila sepanjang hari bersalaman, berpelukan dan meminta maaf dengan rakan sekerja.

Sebelum pemergiannya, arwah juga sempat membawa keluarga makan bersama-sama dan meminta maaf sekiranya ada melakukan kesilapan.

Pada awalnya saya tertanya-tanya tetapi saya menganggap mungkin dia rindukan arwah isterinya. Pada malam sebelum dia ‘pergi’, kami bersembang dan dia bercerita arwah isterinya ada bertemu dan mengajaknya ke ‘rumah’ baharu mereka yang cantik.

Saya anggap mungkin arwah terlalu rindukan isterinya kerana selepas isterinya meninggal, dia kerap bermimpi dan mengigau.

Menurut Jefrie, anak bongsu yang baru dilahirkan kini dalam jagaannya bersama isteri manakala tiga anak yang lain dijaga nenek mereka.


Scroll to Top