Isteri Pastor Raymond Koh mohon ganti rugi lebih RM30 juta didepositkan dalam firma guaman

Isteri Pastor Raymond Koh mohon ganti rugi lebih RM30 juta didepositkan dalam firma guaman

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isteri paderi Pastor memohon perintah mahkamah, supaya ganti rugi melebihi RM30 juta yang perlu dibayar oleh kerajaan didepositkan ke dalam akaun amanah yang dipegang oleh firma guaman lantikannya.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo pada 5 November lalu, yang memerintahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi RM10,000 sehari (RM32.1 juta), ganti rugi teruk (RM1 juta) dan ganti rugi teladan (RM1 juta) kepada keluarga Raymond bermula dari tarikh beliau diculik sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.

Tiang Joo membuat keputusan itu selepas membenarkan saman difailkan isteri Raymond, Susanna Liew, 69, dan memutuskan bahawa kerajaan serta polis bertanggungjawab di atas kehilangan lelaki itu yang dilaporkan diculik pada 13 Februari 2017.

Dalam permohonan beliau, Susanna turut menamakan dua lagi institusi sebagai pemegang amanah alternatif iaitu PB Trustee Services dan Amanah Raya Berhad sekiranya mahkamah tidak menerima firma guaman Tetuan Jerald Gomez & Associates (institusi pilihannya).

Melalui afidavit sokongannya, Susanna berkata, mahkamah dalam keputusannya memberi arahan, antara lain, bahawa ganti rugi yang diputuskan terhadap defendan hendaklah didepositkan dalam akaun amanah yang menjana faedah dan dipegang atas amanah oleh orang atau institusi.

Selain itu, nama dan rujukan orang atau institusi berkenaan hendaklah dikemukakan kepada mahkamah untuk pelantikan sebagai pemegang amanah sehingga keberadaan Raymond dikenal pasti atau didedahkan.

Menurut Susanna, beliau dengan persetujuan bersama anak-anak, iaitu Jonathan Koh Szu Hao, 41, Esther Koh Sze Ern, 40, dan Elizabeth Koh Sze Wei, 29, memohon supaya mahkamah melantik firma guaman Tetuan Jerald Gomez & Associates sebagai pemegang amanah.

Katanya, peguam Datuk Jerald Gomez sudah mewakili keluarganya sejak tahun 2017 lagi dalam prosiding inkuiri

SUHAKAM mengenai kehilangan suaminya, secara pro-bono.

Pada pengurusan kes hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid memaklumkan kepada mahkamah, bahawa pihaknya memerlukan masa untuk menjawab dan menyatakan pendirian pihaknya kerana baru menerima notis permohonan itu semalam.

Katanya, terdapat perkara akan dibantah terutama mengenai implikasi kewangan dalam isu pemilihan pemegang amanah dan juga isu berkaitan undang-undang yang akan dibangkitkan.

Sehubungan itu, Tiang Joo kemudian menetapkan pada 8 Disember ini bagi mendengar permohonan itu dan mengarahkan kedua-dua belah pihak memfailkan afidavit balasan masing-masing.

Ketika membenarkan saman Susanna, Tiang Joo memutuskan, satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terbabit dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’ lapan tahun lalu.

Raymond diculik ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya dan sehingga kini, beliau sudah hilang selama 3,188 hari.

Beliau yang juga pengasas Badan Bukan Kerajaan (NGO) Harapan Komuniti, diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada 13 Februari 2017 ketika dalam perjalanan ke rumah seorang rakan.

Tiang Joo dalam penghakiman kes saman itu, memerintahkan PDRM menjalankan semula siasatan kehilangan Raymond berdasarkan dapatan Pasukan Petugas Khas dan menyerahkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap dua bulan.

Beliau turut mengarahkan Ketua Polis Negara menggugurkan empat pegawai polis yang terbabit dalam siasatan terdahulu dan digantikan dengan pegawai lain yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan kes berkenaan.

Tiang Joo yang membacakan penghakimannya, berkata berdasarkan imbangan kebarangkalian, sekurang-kurangnya seorang atau lebih daripada defendan bertindak secara langsung atau tidak langsung dalam penculikan dan kehilangan paksa Raymond.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top