bhnews@bh.com.my
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang dan Perak akan merujuk isu penggunaan air mentah Sungai Perak kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Ia selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, awal hari ini menyatakan kerajaan negeri muktamad dalam keputusan tidak membekalkan air mentah kepada kerajaan Pulau Pinang menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS), inisiatif Pulau Pinang.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pada masa sama, Pulau Pinang akan cuba meyakinkan Perak bahawa SPRWTS adalah perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kedua-dua negeri itu.
Beliau berkata berkata, kerajaan negeri sekali lagi mengulangi permintaan kepada Kerajaan Perak untuk meneroka potensi Sungai Perak sebagai bekalan sumber air mentah jangka panjang.
Bagaimanapun, katanya pihak Menteri Besar dan agensi berkaitan kerajaan negeri itu memberi maklum balas bahawa negeri Perak, khususnya di bahagian utara juga menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah untuk kegunaan kepelbagaian sektor seperti industri, komersial, pertanian dan kediaman penduduk.
“Menteri Besar Perak dalam pada itu juga membuat kesimpulan bahawa permintaan daripada Kerajaan Pulau Pinang adalah bergantung kepada kecukupan bekalan air dari Sungai Perak sebelum sebarang pertimbangan boleh dibuat.
“Justeru, Kerajaan Pulau Pinang mengambil maklum hujah yang diberikan oleh Kerajaan Perak dan pada masa sama hujahan itu membuktikan bahawa projek SPRWTS juga amat diperlukan bukan sahaja oleh Pulau Pinang tetapi juga Perak khususnya di bahagian utara negeri berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, hasil perbincangan antara kedua-dua negeri kelmarin bersetuju untuk merujuk isu berkenaan kepada KASA yang kini sedang memuktamadkan satu kajian mengenai sumber air di Sungai Perak.
“Namun, dalam menunggu keputusan muktamad berhubung projek SPRWTS yang telah tertangguh selama 11 tahun dan bagi memastikan bekalan sumber air negeri ini sentiasa mencukupi, Kerajaan Pulau Pinang melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah merangka sebuah pelan kontigensi iaitu ‘Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050’ (PWSI 2050).
© New Straits Times Press (M) Bhd
