am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut dimanfaatkan bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan menerusi aplikasi Tasheehqu yang membolehkan mereka menyemak dan menilai tahap bacaan al-Quran secara kendiri.
Aplikasi yang dilancarkan pada April lalu membolehkan pengguna mengulang kaji bacaan al-Quran menggunakan telefon pintar di mana-mana sahaja, selain menerima keputusan analisis AI berdasarkan bacaan yang dilakukan.
Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu Mohd Fauzi Mansor berkata, Tasheehqu bukan bertujuan menggantikan peranan guru, sebaliknya menjadi alat bantuan untuk pengguna mengetahui tahap bacaan sebelum mendapatkan bimbingan secara bersemuka.
“Matlamat utama aplikasi ini bukan untuk menggantikan guru tetapi membantu OKU cacat penglihatan dalam memastikan bacaan itu bagus, tepat dan betul.
“Kalau pelajar kelas al-Quran ada temu janji dengan guru minggu depan, kita boleh berlatih dahulu menggunakan aplikasi ini di rumah dan melihat tahap bacaan kita,” katanya ketika ditemui di Pertis Terengganu, di sini.
Menurutnya, Tasheehqu dibangunkan hasil kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), khususnya Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK) bersama Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) dengan dana daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Yayasan Inovasi Malaysia.
Katanya, kos pembangunan aplikasi itu pada asalnya kira-kira RM87,000 sebelum meningkat kepada RM118,000 selepas elemen AI dimasukkan, manakala versi pertama ketika ini memberi tumpuan kepada Surah al-Fatihah dan surah-surah lazim.
“Teknologi itu memberi kelebihan kepada OKU cacat penglihatan kerana mereka boleh berlatih secara kendiri pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu sesi bersama guru.
“Kalau sebelum ini kita perlu tunggu untuk berjumpa guru, sekarang kita boleh buat latihan menggunakan telefon dan tahu bahagian mana yang perlu diperbaiki.
“Untuk belajar, kita tetap perlu berguru, Aplikasi ini hanya sebagai alat untuk menyemak dan membantu kita memperbaiki bacaan,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, penggunaan AI itu turut membantu merapatkan jurang digital dalam kalangan komuniti OKU cacat penglihatan kerana mereka bukan sekadar didedahkan kepada teknologi berkenaan, malah dapat menggunakannya sendiri dalam kehidupan harian.
Katanya, kira-kira 80 pengguna termasuk guru dalam kalangan ahli Pertis Terengganu kini menggunakan aplikasi berkenaan bagi mendapatkan maklum balas dan menguji keberkesanannya, manakala pembangunan turut mengambil kira konsep reka bentuk sejagat atau universal design.
“Banyak aplikasi yang ada di luar sana tidak mesra pengguna OKU cacat penglihatan kerana kadang-kadang kita tekan sesuatu, ia tidak dibaca oleh sistem pembaca skrin.
“Tasheehqu pula dibangunkan dengan kita sebagai pengguna sasar, jadi pihak pembangun datang kepada kita, berbincang dan memahami apa yang kita perlukan,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, pihaknya berharap Tasheehqu dapat dikembangkan kepada versi lebih lengkap yang merangkumi keseluruhan 30 juzuk al-Quran serta diperluaskan untuk memenuhi keperluan golongan OKU lain.
Menurutnya, versi pertama ini adalah langkah awal dan kita berharap selepas ini ada dana tambahan supaya aplikasi dapat dikembangkan dan merangkumi 30 juzuk.
Sementara itu, ahli Pertis, Muhammad Yusuf Mohd Azam, 30, berkata, aplikasi itu memberinya peluang membuat semakan bacaan sendiri dan mengulangi latihan sehingga lebih yakin sebelum berhadapan dengan guru.
“Bagi saya, aplikasi ini memudahkan kerana kita boleh buat semakan sendiri dan sekiranya rasa bacaan masih kurang baik, kita boleh ulang dan cuba lagi sampai lebih yakin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
