Langkawi baru 'separuh' – Tun M

am@hmetro.com.my

Langkawi: Selepas hampir empat dekad dibangunkan sebagai pulau bebas cukai, pulau itu boleh dianggap baru mencapai ‘separuh’ daripada potensi sebenar dan berisiko ketinggalan berbanding destinasi pelancongan negara jiran.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembangunan pulau peranginan itu perlu terus dipacu dan tidak boleh dibiarkan tanpa hala tuju serta dasar kerajaan yang jelas.

Menurutnya, kerajaan perlu memainkan peranan lebih aktif dengan merangka dasar yang mampu menarik lebih ramai pelabur, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi Langkawi.

“Kerajaan tak boleh biar saja. Kerajaan mesti berarah dan buat dasar supaya ramai pelabur datang melabur di Langkawi.

“Bila ada pelaburan yang banyak di Langkawi, maka ramai pelancong akan datang. Bila pelancong datang lebih ramai, lebih banyak acara besar boleh dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung menerusi podcast sempena Program Mahathir 101: Piknik Legasi bagi meraikan ulang tahun kelahirannya ke-101 di Taman Legenda, di sini, petang semalam.

Dr Mahathir berkata, peningkatan pelaburan dan kedatangan pelancong juga mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk tempatan, termasuk dalam sektor makanan dan perkhidmatan.

Katanya, pembangunan Langkawi tidak boleh terhenti pada tahap sekarang kerana pulau itu berdepan persaingan sengit daripada destinasi pelancongan serantau.

“Langkawi ada pesaing terdekat, khususnya dari negara jiran serantau. Jika leka, Langkawi akan ketinggalan,” katanya.

Dr Mahathir sering dikaitkan sebagai arkitek pembangunan Langkawi memainkan peranan penting dalam transformasi pulau itu sebagai destinasi pelancongan antarabangsa termasuk ketika ia diberi status pulau bebas cukai pada 1987.

Mengakhiri podcast itu, negarawan berkenaan berpesan supaya usaha menarik lebih banyak pelaburan ke Langkawi mesti diteruskan bagi merancakkan pembangunan, menjana ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

Pada masa sama, beliau menyerahkan tanggungjawab meneruskan pembangunan Langkawi kepada generasi muda dengan menggesa mereka menimba ilmu, bekerja keras dan memperkukuh sektor pelancongan pulau itu.

“Saya sudah 101 tahun, tak ada banyak lagi. Jadi saya tinggalkan nasib ini kepada orang muda.

“Belajarlah bagi memperoleh ilmu yang banyak, rajin bekerja dan kukuhkan pelancongan Langkawi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top