MELAKA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak meletakkan kerjasama dengan parti lain sebagai strategi politiknya ketika ini, sebaliknya mahu membina kekuatan sendiri dari peringkat akar umbi.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pendekatan bergerak secara bersendirian penting bagi membolehkan parti itu membina kekuatan untuk jangka panjang tanpa bergantung kepada parti atau gabungan lain.
Katanya, Bersama juga tidak mengejar kuasa dalam tempoh singkat, sebaliknya mahu membina sebuah parti berteraskan politik progresif yang mempunyai kekuatan sendiri.
“Bagi kami di Bersama, kami memang ada tumpuan jangka panjang iaitu kita mahu bina satu politik yang progresif dan kita tidak bermatlamatkan kuasa untuk jangka masa pendek.
“Bagi saya, untuk Bersama memberi kesan yang besar dan berkhidmat kepada rakyat, Bersama mesti ada kekuatan daripada bawah dan kekuatan itu hanya boleh dibina apabila kita masuk secara bersendirian dan tidak bergantung kepada kekuatan orang lain,” katanya kepada pemberita selepas Pengumuman Calon Bersama bagi PRN Melaka di sini semalam..
Rafizi berkata, apabila sesebuah parti terpaksa bertanding dengan kekuatan sendiri, keadaan itu akan mendorongnya bekerja lebih keras dan pantas untuk memperkukuh sokongan.
“Apabila kami terpaksa membina kekuatan kerana kami bertanding bersendirian dan tidak bergantung kepada gabungan, kami perlu bergerak lebih pantas.
“Jadi memang soal kerjasama politik, strategi politik ini tidak ada dalam kamus Bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata keputusan Bersama bertanding di 15 kerusi DUN pada PRN Melaka dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan termasuk profil pengundi, unjuran sokongan, kesesuaian calon serta kemampuan jentera parti.
Menurutnya, Bersama sebenarnya mampu meletakkan calon di lebih banyak kerusi, namun langkah itu dikhuatiri akan menyebabkan sumber dan jentera parti terpaksa dibahagikan secara berlebihan.
“Kami boleh bertanding 18, 19 tetapi itu mungkin stretch our resources secara berlebihan.
“Jadi sebab itu kami tetapkan 15 kerana ini adalah kerusi-kerusi yang paling memenuhi kriteria tadi dari segi profil sokongan, kesesuaian calon dan juga kerusi-kerusi yang sesuai dengan jentera yang ada di sini,” katanya. – UTUSAN
