'Isu keluar barang dari rumah Nubhan dan bekas isteri diklasifikasikan RLA'- Polis

'Isu keluar barang dari rumah Nubhan dan bekas isteri diklasifikasikan RLA'- Polis

am@hmetro.com.my

Seremban: Polis mengklasifikasikan isu membabitkan penyanyi, Ahmad Nubhan berhubung dakwaan mengeluarkan barangan milik bekas isteri dari rumah yang didiami bersama anak-anak mereka sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA).

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan polis daripada penyanyi berusia 39 tahun berkenaan pada 29 Disember lalu.

“Pada 29 Disember lalu, pihak polis menerima satu laporan yang dibuat penyanyi tempatan iaitu Ahmad Nubhan yang mana beliau datang ke rumahnya di Taman Lavender Heights, di sini.

“Ia untuk mengeluarkan barang milik bekas isterinya iaitu Dr Afifah Hidayah untuk dihantar ke rumah milik ibu bekas isteri penyanyi itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas beliau, pada 1 Januari lalu pihak polis menerima satu laporan yang dibuat bekas isteri penyanyi berkenaan yang mana tidak berpuas hati atas tindakan memindahkan barang kepunyaannya tanpa keizinan.

“Siasatan awal dijalankan dan kedua-dua laporan polis itu diklasifikasikan sebagai RLA dan dirujuk kepada Mahkamah Syariah,” katanya.

Kelmarin media melaporkan Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, membuat laporan polis terhadap bekas suaminya mendakwa Ahmad Nubhan mengeluarkan barangan miliknya dari kediaman yang didiami bersama anak-anak mereka.

Perkara berkenaan disahkan peguam syarie yang mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang memaklumkan laporan polis terbabit turut membabitkan dakwaan kehilangan wang tunai serta barangan kemas.

Konflik terbaharu antara Dr Afifah dan Nubhan tercetus apabila wanita itu mendakwa barangan di kediaman yang dihuni bersama anak-anak dicampak keluar tanpa pengetahuannya.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah sah bercerai pada 2 Disember lalu selepas mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top