am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, menafikan tandatangan yang dikaitkan dengan menteri berkenaan dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah tandatangan rasmi Hannah.
Menerusi kenyataan ringkas di media sosial, Ahmad Fazli Mohd Yadi menyifatkan perkara itu sebagai fitnah dan akan membuat laporan polis berkaitan isu terbabit.
“Saya menafikan bahawa itu tandatangan rasmi @hannahyeoh dan jelas ini adalah fitnah semata-mata. Itu bukan tandatangan Hannah.
“Saya akan buat laporan kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat,” katanya dalam Threads, di sini, hari ini.
Ahmad Fazli menjawab status dimuatnaik oleh pengguna media sosial yang mengucapkan syukur bahawa Najib akan diberikan perintah tahanan rumah.
Notis yang dikemukakan itu turut menunjukkan ia ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Hannah.
Kenyataan itu dibuat ketika isu pengampunan Najib kembali menjadi perhatian susulan laporan The Straits Times bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat semula esok, hanya seminggu selepas perkara berkenaan ditangguhkan pada mesyuarat 11 September lalu.
Laporan itu turut mendakwa mesyuarat berkenaan hanya mempunyai satu perkara dalam agenda, iaitu permohonan pengampunan Najib.
Pada 11 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.
Hannah sebelum ini dilaporkan berkata, kuasa serta keputusan muktamad dalam perkara pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Pada Julai 2020, Najib yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Namun pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd
