Berlin, Jerman: Juara bertahan Itali tersingkir selepas tumbang 2-0 di tangan Switzerland dalam aksi peringkat 16 terbaik di Olympiastadion , Berlin, awal pagi tadi.
Kekalahan skuad Azzuri itu menyaksikan hasrat untuk mempertahankan mahkota kejuaraan hilang selepas memenanginya pada edisi empat tahun lalu.
Breel Embolo hampir memberikan kelebihan buat Switzerland pada minit ke-23 tetapi sepakannya berjaya diselamatkan oleh Gianluigi Donnarumma untuk keputusan kekal 0-0.
Switzerland berjaya membuka jaringan awal pada minit ke-37 menerusi pemain tengah, Remo Freuler, yang merembat bola hasil hantaran Ruben Vargas.
Dua minit sebelum wisel dibunyikan, sepakan penjuru Fabian Rieder hampir menghukum Itali sekali lagi tetapi Donnarumma terus menjadi penyelamat untuk perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0.
Sebaik babak kedua bermula, Switzerland terus menambah gol kedua menerusi Ruben Vargas pada minit 46 untuk memberi tekanan buat Itali.
Biarpun Itali cuba memburu gol namun pertahanan Switzerland cukup berdisiplin untuk mengekalkan kedudukan itu sehingga wisel penamat.
Switzerland mara ke suku akhir dan akan bertemu pemenang antara England dan Slovakia yang akan turun beraksi tengah malam esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




