Izam tak mahu lagi nombor tujuh

Izam tak mahu lagi nombor tujuh

sukhairi@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Menemui garisan penamat di tempat ketujuh bukan sesuatu yang diingini pelumba SCK Honda Racing Team, Md Izam Ikmal pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, minggu lalu.

Justeru pelumba berusia 19 tahun itu mahu pantas mencari jalan penyelesaian bagi mempertingkatkan kemampuan diri menjelang aksi pusingan kedua di Litar Antarabangsa Sepang Utara dari 3 hingga 4 April ini.

“Tempat ketujuh bukan keputusan terbaik untuk memulakan musim,” kata Izam yang sebelum ini pernah menyertai Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia itu.

“Jadi, saya akan melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding pusingan pertama dan sudah pasti tidak sabar untuk beraksi di pusingan seterusnya. Terima kasih kepada penaja, SCK Racing dan semua bos yang mempercayai saya tahun ini.”

Pada perlumbaan CP150 di Litar SIC Selatan hujung minggu lalu, Izam menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dengan catatan masa 14 minit 13.193 saat (s) manakala rakan sepasukan yang juga juara bertahan, Md Helmi Azman berada di tempat kelapan, 14:13.256s.

Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Md Muzakkir Mohamed meraih kemenangan sulungnya dalam kelas perdana pada perlumbaan berkenaan dengan catatan keseluruhan terpantas, 14:12.181s manakala Md Izzat Zaidi Md Salehan (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team) muncul naib juara, 14:12.446s.

Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing yang juga juara keseluruhan bagi musim 2018 dan 2019 melengkapkan pentas podium dengan berada di tempat ketiga dengan catatan, 14:12.503s.

Pada musim lalu, Izam menamatkan kempen dengan mengumpul 46 mata untuk berada di tangga ke-11 keseluruhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top