nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kandungan filem Mentega Terbang didapati terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat yang menyatakan kegusaran berhubung penayangan filem itu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.
“Saya amat memahami akan sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam berhubung isu filem terbabit.
“Justeru, saya mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti secara keseluruhan kandungan filem terbabit.
“Hasil penelitian JAKIM mendapati bahawa filem ini terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Na’im berkata, pihak JAKIM sudah diminta untuk mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang.
“Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga sudah diminta untuk memanggil pihak yang terbabit dengan penerbitan filem itu untuk urusan lanjut.
“Adalah ditegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam.
“Lebih-lebih lagi yang boleh mengundang kontroversi dan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penggiat seni kreatif supaya lebih berhati-hati dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat agar matlamat kerajaan menuju Negara Madani akan tercapai.
“Masyarakat juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam memilih rancangan untuk tontonan seisi keluarga sama ada di platform dalam talian mahupun mana-mana saluran.
“Ia supaya kita tidak terdedah kepada unsur-unsur yang boleh menjejaskan akidah Islamiah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




