am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Konon mahu bincang hal perkahwinan, seorang janda ditangkap berkhalwat dengan teman lelakinya yang juga warga asing di sebuah hotel di bandaraya ini, awal pagi tadi.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memaklumkan, tangkapan dibuat sekitar jam 1.30 pagi turut menemui seorang anak wanita sekitar berusia 30 an itu sedang tidur di lantai beralaskan tilam nipis.
Katanya penguatkuasa menunggu lima minit sebelum pintu bilik hotel dibuka oleh wanita yang berpakaian t-shirt dan berseluar panjang.
“Keadaan bilik gelap, semasa lampu dibuka penguat kuasa menjumpai seorang kanak-kanak berumur sekitar enam atau tujuh tahun (anak wanita) yang sedang tidur di bawah.
“Apabila penguat kuasa ditanya ada sesiapa lagi di dalam bilik itu? wanita berkenaan tidak menjawab.
“Penguat kuasa memeriksa tandas tetapi pintu berkunci dan panggilan tidak dijawab. Tiga minit kemudian pintu tandas dibuka dan seorang lelaki berseluar panjang serta memakai t-shirt keluar dalam keadaan ketakutan.
“Ketika ditanya hubungan mereka, mereka mengaku pasangan kekasih dan mahu bernikah dalam masa terdekat.
“Wanita ini umur 30-an, seorang janda yang berasal dari sebuah negeri di pantai timur dan bekerja di Johor Bahru. Manakala lelaki pula berumur 20-an, warga Indonesia, masih bujang dan bekerja di sebuah pasar di Johor Bahru. Hotel disewa atas nama wanita, “katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
JAINJ memaklumkan, pasangan ini memberikan alasan datang ke hotel untuk berbincang urusan perkahwinan mereka.
“Apabila ditanya apakah yang dibincangkan, lelaki jawab cara hendak memohon nikah warga asing dengan kedutaan dan pejabat kadi.
“Kalau betul pun nak berbincang, tidak perlu masuk bilik hotel. Tempat lain banyak lagi (boleh bincang) termasuk kedai mamak 24 jam.
“Berbagai-bagai alasan dicipta pasangan yang ditangkap berkhalwat seperti ini yang kerap didengari penguat kuasa.
“Penguatkuasa wanita jumpa baju dan seluar dalam wanita dalam bilik air. Wanita terbabit juga mendakwa tidur hotel kerana sudah lewat untuk pulang ke rumah selepas keluar membeli belah.
“Penguatkuasa menasihati lelaki itu supaya menjaga akhlak apabila mencari rezeki di negara orang dan jangan melakukan maksiat atau jenayah, “katanya
Pasangan itu ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




