‘Jangan sesiapa berani pisahkan Taiwan dari China’ – Utusan Digital

BEIJING: Tentera China memberi amaran akan menghapuskan sebarang usaha untuk memisahkan Taiwan daripada negara itu.

Lapor South China Morning Post, ancaman itu dibuat selepas China melakukan latihan serangan dan pendaratan pantai di wilayah seberang laut bertentangan dengan Taiwan.

Akhbar rasmi Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) menerusi ruangan ulasan menyatakan tentera China yakin dan mampu menggagalkan semua campur tangan luaran dan tindakan pemisah ‘kemerdekaan Taiwan’.

“Sekiranya pasukan pemisah `kemerdekaan Taiwan’ berani memisahkan Taiwan dari China dengan apa cara sekalipun, maka PLA secara tegas akan menghapuskan mereka,” jelas laporan itu.

Amaran itu dibuat ketika China meningkatkan provokasi terhadap Taiwan termasuk pencerobohan pesawat perang ke Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan beberapa kali.

Isnin lalu, akhbar PLA melaporkan pasukan tentera melakukan latihan pendaratan di pantai dan  serangan di bahagian selatan wilayah Fujian.

Jelas laporan itu, latihan tersebut juga melibatkan pasukan ‘khas’ iaitu askar tempur yang pakar dalam kejuruteraan dan sistem bot.

“Pasukan itu dibahagikan kepada beberapa peringkat dan melakukan tugasan pertempuran pada tahap yang berbeza,” jelas laporan itu tanpa memperincikan butiran lanjut.

Minggu lalu, Presiden China, Xi Jinping berkata, Beijing berharap Taiwan dapat disatukan semula secara damai dengan daratan China.

Beliau memberi amaran mana-mana pihak yang menentang usaha itu akan `ditolak oleh rakyat’.       

Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen menolak gesaan itu, dengan menegaskan kepulauan dan daratan tidak boleh saling tunduk sesama lain.

Malah, beliau berkata, Taiwan harus menentang penjajahan atau pencerobohan terhadap kedaulatan negara itu. – AGENSI