Jaringan luas produk Malaysia

Kuala Lumpur: Kerajaan bersedia bekerjasama dengan peruncit Jepun, Don Don Donki yang memiliki jaringan antarabangsa yang luas untuk mempromosikan produk buatan Malaysia di peringkat antarabangsa khususnya di Jepun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dianjurkan Jepun tahun ini akan menjadi peluang yang baik untuk mempromosikan dan mempamerkan produk buatan Malaysia yang berkualiti terutama produk halal.

“Saya harap kerjasama antara Don Don Donki dan kementerian dapat dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran Jonetz by Don Don Donki di sini.

Don Don Donki, rangkaian kedai harga patut Jepun adalah jenama yang tidak asing lagi bagi rantau Asia Pasifik.

Cawangan pertama di Malaysia mula beroperasi sejak 19 Mac lalu.

Ia memiliki lebih 160 lokasi di Jepun dan Singapura, Hong Kong, Hawaii, Thailand, Taiwan dan Malaysia.

Cawangan di Malaysia meliputi kedai tiga tingkat seluas 23,476 meter persegi di Bukit Bintang.

Alexander berkata, cawangan berkenaan adalah tanda keyakinan berterusan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia pada masa yang mencabar ini terutama di sektor runcit.

Katanya, seperti negara maju lain, sektor runcit dengan cepat menjadi satu daripada penyumbang utama keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Pada 2019, Malaysia menerima pelaburan asing bernilai RM60.46 bilion dalam sektor perdagangan pengedaran terutama dari runcit. Jumlah pelaburan asing ini mewujudkan 392,634 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia.

“Pada tahun lalu, walaupun terdapat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penjualan runcit menyumbang RM511 bilion kepada KDNK nasional,” katanya.

Pan Pacific International Holdings Corp (PPIH), syarikat induk Don Don Donki mengembangkan perniagaannya ke rantau Asia Pasifik dengan memperkenalkan konsep kedai khusus, menjual barang buatan Jepun atau barangan untuk pasaran Jepun.

Presiden Pan Pacific Malaysia, Satoshi Machida berkata, kumpulan itu merancang untuk membuka 11 kedai di rantau ini dalam tempoh lima tahun antara 2021 dan 2024.