Industri pelancongan tunjuk tanda pemulihan: Shopee

Kuala Lumpur: Platform e-dagang Shopee menunjukkan isyarat pemulihan dalam industri pelancongan Malaysia susulan sambutan yang menggalakkan bagi kempen Tourism Malaysia di platform itu.

Katanya, sebanyak 22,000 tawaran Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experience Malaysia Like Never Before direbut sejak larangan sekatan perjalanan antara daerah diumum untuk ditamatkan pada 2 Mac lalu dan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ini amat menggalakkan berbanding 500 transaksi terkumpul yang dibuat antara 11 Januari lalu (apabila PKP 2.0 diumumkan) dan 1 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan.

Shopee bekerjasama buat kali pertama dengan Tourism Malaysia dalam kempen ini pada Disember tahun lalu dan dilancarkan semula baru-baru ini selepas terhenti selama dua bulan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata, permintaan pelancongan mendorong aktiviti bercuti inap dalam kalangan penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Sabah dan Johor yang menyumbang kepada purata sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan permintaan tawaran itu di negeri berkenaan.

Katanya, rakyat Malaysia juga menzahirkan keyakinan sempadan negeri akan dibuka semula terutama dari Sarawak, Terengganu dan Melaka yang memilih tawaran Buy Now, Travel Later.

“Destinasi terkenal termasuk Aquaria KLCC di Kuala Lumpur, Sunway Lagoon dan Zoo Negara di Selangor dan Rainbow SkyWalk di The Top Penang dan Wonderfood Museum di Pulau Pinang.

“Turut disenaraikan sebagai destinasi popular ialah Port Dickson, Negeri Sembilan untuk aktiviti seperti memancing, snorkeling dan banana boat manakala aktiviti hotel, pelancongan dan rekreasi di Langkawi, Kedah.

“Kami akan terus memainkan peranan untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan pemilik hotel dan pengendali pelancongan menerusi teknologi untuk menyumbang kepada kelestarian industri ini.

“Permintaan yang kukuh ini menunjukkan rakyat Malaysia mahu dan perlu berehat selepas pendekatan untuk duduk di rumah dilanjutkan,” katanya.