Jauhi pegangan dan amalan syubhat

Jauhi pegangan dan amalan syubhat

Tasawuf telah lama berakar dalam masyarakat Muslim di Malaysia. Majlis-majlis maulid dan qasidah serta pelbagai versi wirid dan amalan di samping puluhan gerakan tarekat menjadi bukti sosialnya. Namun, apabila diteliti lebih dalam, kita dapat melihat pola menggusarkan dalam kalangan beberapa kelompok pengamal sisi kerohanian Islam ini.

Pertama, ada sebahagian yang tidak berlatar belakangkan pendidikan agama yang kukuh. Mereka ‘menemui’ tasawuf setelah memasuki alam pekerjaan. Rujukan mereka lebih banyak bersumberkan media sosial berbanding rujukan ulama muktabar.

Kedua, ada juga sebahagian yang berpendidikan asas dalam agama, tetapi tidak mendalam. Mereka adalah lepasan pusat tahfiz dan madrasah persendirian dan pendedahan mereka terhadap tasawuf terhad kepada anjuran majlis maulid dan qasidah, tanpa kesinambungan dalam pengajian Islam secara lebih mendalam.

Akibatnya, pemahaman tasawuf mereka bersifat taklid dan fanatik, tanpa asas yang kukuh. Mereka berpegang dan mengamalkan ‘tasawuf popular’ – sekadar berbentuk upacara dan amalan, tanpa kefahaman tentang prinsip dan metodologinya – atau lebih teruk, ajaran batil seperti ajaran New Age.

Sekurang-kurangnya dua keburukan lahir daripada keadaan ini. Pertama, banyak pegangan dan amalan bercampur aduk antara ajaran benar dengan fahaman yang menyimpang, lalu melahirkan pegangan dan amalan syubhat yang lebih menyerupai ajaran sesat berbanding tasawuf tulen.

Kedua, imej tasawuf di mata masyarakat tercemar, khususnya pada orang bukan Islam dan sebahagian umat Islam sendiri. Ahli tasawuf sering ditohmah oleh sesetengah pihak sebagai golongan yang lemah daya fikir, mundur, cenderung kepada tahyul dan banyak mencipta bidaah. Maka, pengajian tasawuf berkaedah menjadi kemestian.

Secara umumnya, tasawuf yang diamalkan di Malaysia berpegang kepada manhaj Imam Abu Hamid al-Ghazali (m. 1111). Dalam al-Munqidh min al-Dalal, al-Ghazali menggariskan dua unsur asas dalam tasawuf yang sahih.

Pertama, titik tolak tasawuf mesti bermula dengan ilmu yang benar – tentang Allah, dunia dan akhirat serta taklif insan di dunia dalam kembaranya menuju akhirat. Ini merangkumi keseluruhan rukun Islam dan iman, dikenali sebagai ilmu fardu ain.

Tambahan lagi, selain kesahihan, ilmu fardu ain juga tidak harus terbantut di peringkat asas sahaja, tetapi mesti sentiasa diperdalamkan sesuai dengan usia, kematangan akal dan kapasiti komitmen. Misalnya, mempelajari fiqh solat seharusnya disempurnakan dan disusuli dengan mendalami ilmu rahsia solat. Lagi, seorang ahli perniagaan harus mendalami adab berniaga di samping mempelajari hukum-hakam muamalat. Semua ini dibahaskan oleh al-Ghazali dalam karyanya Ihya’ Ulum al-Din. Berdasarkan contoh ini, dapat dilihat bahawa tasawuf juga membentuk sebahagian fardu ain.

Seterusnya, ilmu fardu ain yang sahih dan mendalam melahirkan amal yang bermutu. Amalan sebegini bukan sahaja diterima Allah, malah membersihkan hati dan membentuk peribadi. Seterusnya, hati yang bersih lebih mudah membezakan amalan benar daripada amalan syubhat. Akhirnya, individu berhati bersih menyumbang secara langsung kepada keharmonian dalam masyarakat amnya.

Justeru, dapat dilihat tasawuf berkaedah mengutamakan penyempurnaan ibadah wajib, disusuli ibadah sunat, kemudian baru dihiasi dengan amalan persendirian. Ini tergambar dalam takrifan tasawuf menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, iaitu ‘mengamalkan syariat Islam pada tahap ihsan’ – iaitu seakan-akan melihat Allah, atau pastinya Allah melihat kita.

Penghayatan sebenar takrifan ini seharusnya memperbetulkan kefahaman dan keutamaan dalam ibadah, dan menjauhkan kita daripada beria-ia mengamalkan sesuatu yang bukan sahaja tidak berdosa jika ditinggalkan, malah berisiko berdosa pula jika diamalkan berpandukan sangkaan dan taklid yang batil, selain juga memelihara akidah daripada pegangan khurafat.

Berhubungan taklid, ahli Sufi seperti Shaykh Ahmad Zarruq (m. 1493) dan karyanya Qawa’id al-Tasawwuf wajar diberikan perhatian. Selain memperkukuhkan pesanan al-Ghazali, Ahmad Zarruq menekankan kepentingan mendapatkan bimbingan guru murshid yang berwibawa. Ini agar kita tidak terjerumus kepada taqlid buta, sebaliknya kita meneladani (iqtida’) orang soleh dan ahli Sufi dengan ilmu yang benar.

Dalam al-Kimiya’ al-Sa’adah pula, al-Ghazali menyebutkan tujuan tasawuf: untuk meraih kebahagiaan (al-sa’adah) di dunia dan akhirat. Jelas semua ini mustahil dengan pegangan dan amalan batil.

Bagi masyarakat awam, cara terbaik untuk mendalami tasawuf secara berkaedah adalah memperkenalkan semula nama ahli Sufi berwibawa dan menelaah karya mereka. Sosok seperti al-Qushayri, al-Muhasibi, Abu Talib al-Makki dan lain-lain wajar dikaji semula.

Hakikatnya, karya al-Ghazali sendiri pun sudah memadai sebagai sukatan tasawuf. Dalam aspek ilmu, perhatian wajar diberikan kepada karya al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Mi’yar al-‘Ilm, al-Arba’in fi Usuliddin, dan bab-bab awal dalam Ihya’. Manakala, dalam aspek amal pula, Mizan al-‘Amal, Bidayah al-Hidayah dan Minhaj al-‘Abidin amat wajar.

Kesimpulannya, mari renungkan pesanan Imam Malik: fiqh tanpa tasawuf membawa kepada kefasikan, namun tasawuf tanpa fiqh membawa kepada zindiq. Jelaslah, tasawuf mesti berakarkan fiqh dan fiqh berakarkan akidah sahih. Amal mesti berpandukan ilmu.

Penulis Editor Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top