Jawatankuasa RTG akan bincang isu Azizulhasni – Stuart

Jawatankuasa RTG akan bincang isu Azizulhasni – Stuart

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Road To Gold (RTG) Olimpik Paris 2024 akan membincangkan kekecewaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang berhubung kegagalan Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai pada awal tahun ini.

Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, beliau maklum mengenai kebimbangan dan kekecewaan Mohd Azizulhasni dan berharap apa yang dibangkitkan itu dapat diselesaikan dalam mesyuarat Jawatankuasa RTG yang akan bermesyuarat dalam tempoh dua minggu lagi.

“Saya tahu isu yang dihadapi oleh Datuk Azizuhasni dengan MSN. Ini merupakan sebahagian daripada kompilasi isu dan permintaan daripada kesemua atlet yang saya telah lengkapkan selepas mesyuarat dengan kesemua atlet RTG.

“Malangnya beberapa isu lama seperti dalam kes ini yang telah pun bermula satu setengah tahun lalu antara Azizulhasni dan MSN yang memerlukan saya (sebagai penyelaras) mendapatkan butiran berkaitan daripada pelbagai pihak yang terlibat sebelum isu itu dibawa ke jawatankuasa untuk pertimbangan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Azizulhasni yang dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum dia kembali ke Malaysia, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai, sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun. – MalaysiaGazette