ISKANDAR PUTERI – Dua misi besar bakal dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat, iaitu mempertahankan Piala Sumbangsih dan melakar rekod baharu dunia sebagai pasukan yang mencatatkan rekod tanpa kalah terpanjang dalam saingan liga bola sepak.
Pertembungan JDT menentang naib juara Piala Malaysia, Kuching City FC, bukan sekadar memburu kemenangan, tetapi menjadi pentas terbaik untuk Harimau Selatan mengukuhkan cengkaman sebagai gergasi bola sepak domestik.
Pengendali JDT, Xisco Munoz, berkata Kuching City merupakan pencabar terhebat JDT ketika ini.
Menurutnya, Kuching City sentiasa sangat berbahaya dalam transisi serangan kerana mempunyai pemain yang sangat baik untuk melakukan tugas itu.
“Esok kita perlu memberikan fokus yang tinggi kerana ini perlawanan pertama kita dalam pertandingan besar dan penting untuk para pemain memahami perkara itu.
“Kita perlu memberikan aksi maksimum kerana ini perlawanan penting menentang lawan yang berkualiti. Walaupun ini perlawanan pertama, perkara yang sangat penting untuk difahami ialah ini umpama satu perlawanan akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media praperlawanan Piala Sumbangsih pada Khamis.
Justeru, beliau menuntut pemain-pemainnya memberikan komitmen 100 peratus terhadap aspek taktikal, emosi, motivasi dan fizikal.
Sementara itu, pemain prolifik JDT, Bergson da Silva, berkata Harimau Selatan memiliki perancangan tersendiri meskipun mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir yang menemukan kedua-dua pasukan musim lalu.
“Kami mengambil iktibar dan kelebihan daripada perlawanan itu untuk belajar cara mengawal permainan dan perkara yang boleh dilakukan secara berbeza supaya tidak terlalu tertekan, sekali gus menunjukkan kemampuan sebenar kami kepada orang ramai.
“Saya percaya kami akan memberikan segalanya esok untuk memenangi satu lagi piala buat kelab ini kerana kami layak mendapatkannya berkat kerja keras yang telah kami lakukan sepanjang tahun lalu,” katanya.
JDT dalam misi memburu rekod dunia sebagai pasukan yang memegang rekod tanpa kalah terpanjang dalam saingan liga bola sepak.
Ketika ini, JDT sedang menyamai pencapaian kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas, yang mencatatkan 108 perlawanan tanpa kalah dalam liga.