JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bakal mencipta rekod dunia baharu, tanpa kalah terpanjang dalam saingan liga apabila turun mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih menentang Kuching City FC esok.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, biarpun misi memburu satu lagi trofi menjadi sasaran utama, peluang mencipta sejarah pada peringkat dunia juga satu pencapaian penting buat kelab dan penyokong.
“Esok hari penting buat kami. Pertama, kami mahu memenangi trofi dan kedua, kami mahu mencipta sejarah dalam bola sepak dunia.
“Untuk mencapai tahap ini, ia sesuatu yang menakjubkan dan pemain kami sedia memberikan 100 peratus untuk melangkah setapak lagi,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Mengenai taktikal Kuching City, Munoz mengakui pasukan itu merupakan lawan yang sukar, terutama dari segi kekuatan fizikal serta keupayaan melakukan transisi serangan pantas.
“Mereka mempunyai struktur pertahanan yang baik dan sangat berbahaya ketika melakukan serangan balas. Kami perlu mengekalkan tahap konsentrasi yang tinggi dan kekal fokus,” katanya.
Ketika ditanya mengenai lima pemain JDT yang dipinjamkan kepada Kuching City FC, beliau berkata pemain berkenaan mampu memberikan tentangan sengit kepada pasukannya sekiranya diturunkan dalam perlawanan itu.
Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak menegaskan pasukannya tidak gentar berdepan JDT selain hanya memberikan tumpuan kepada corak permainan sendiri.
“Berkenaan rekod mereka, kami tidak memikirkannya kerana mahu fokus kepada pasukan sendiri. Esok, kami turun untuk menang dengan bekerja keras, mengutamakan semangat berpasukan dan memberikan 100 peratus di atas padang,” katanya.
Bagaimanapun, Aidil Sharin enggan mendedahkan sama ada lima pemain pinjaman daripada JDT akan diturunkan, sebaliknya memberikan tumpuan kepada pemilihan kesebelasan terbaik untuk menentang Harimau Selatan.
Harimau Selatan yang tidak tewas dalam saingan liga sejak 2021 pada ambang mencipta rekod dunia baharu sekiranya meraih kemenangan atau seri menentang Kuching City FC esok.
JDT menyamai rekod dunia kelab Ivory Coast ASEC Mimosas dengan 108 perlawanan liga tanpa kalah selepas mencatat kemenangan besar 14-1 ke atas Kelantan TRW dalam saingan Liga Super pada Mei lepas.