JDT perlu pamer aksi terbaik berdepan Penang FC – Solari

JDT perlu pamer aksi terbaik berdepan Penang FC – Solari

Solari – foto fb Johor Southern Tigers

JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim perlu memberikan aksi terbaik ketika berdepan Penang FC dalam saingan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad bagi menjamin slot ke separuh akhir musim ini.

Menurut pengendalinya, Esteban Solari, pelawat sudah pasti bakal menurunkan kesebelasan selain merangka percaturan strategi terbaik dalam usaha mencatatkan kejayaan.

Justeru, kesemua pemain skuad Harimau Selatan diharap bersedia untuk berdepan tentangan sengit daripada kesebelasan skuad Harimau Kumbang itu.

“Kini JDT sudah berada di suku akhir Piala FA…seperti yang saya katakan sebelum ini, setiap perlawanan dalam saingan kalah mati seperti ini pastinya sukar.

“Lawan JDT kali ini adalah Penang FC…pasukan yang mempunyai strategi yang baik, pemain-pemain yang pantas dan kesemua ini pastinya akan memberikan kesukaran kepada kita.

“Oleh itu, semua pemain perlu memberikan aksi yang terbaik untuk melepasi peringkat ini (suku akhir),” katanya.

Untuk rekod, JDT merupakan juara bertahan Piala FA apabila menewaskan Terengganu FC, 3-1 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September 2022, lalu.

JDT mara ke suku akhir Piala FA musim ini apabila menewaskan PDRM FC, 3-0 bagi saingan kelompok 16 terbaik di Stadium Sultan Ibrahim, 14 April lalu.

Mengulas mengenai kesebelasan yang bakal beraksi berdepan Penang FC, Solari berkata, ramai dalam pemain dilihat bersedia untuk diturunkan termasuk pemain-pemain simpanan.

Katanya, senario berkenaan dilihat memberikan petanda positif dan memberikannya lebih banyak pilihan bagi menurunkan kesebelasan terbaik berdepan skuad Harian Penang Haria itu.

“Rata-rata pemain sudah bersedia dan tidak sabar untuk beraksi kali ini. Apa pun, mereka (pemain) diharap telah bersedia untuk berdepan apa sahaja kemungkinan.

“Mereka (pemain) juga perlu ingat, setiap perlawanan adalah berbeza dan mereka perlu sentiasa bersedia,” katanya.