Jemaah rayu sumbangan, masjid 100 tahun berisiko runtuh

Jemaah rayu sumbangan, masjid 100 tahun berisiko runtuh

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Jemaah Masjid Kampung Lerek, di sini, bimbang berlaku runtuhan memandangkan struktur atas bangunan berkenaan sudah reput dimakan anai-anai.

Masjid dibina penduduk kampung sejak lebih 100 tahun lalu itu perlu diperbaharui terutama membabitkan bahagian siling, bumbung dan atap yang banyak mengalami kerosakan dan mendatangkan risiko keselamatan kepada jemaah ketika berada di dalam rumah Allah berkenaan.

Atap yang sudah lama menyebabkan berlaku kebocoran sehingga ruang masjid dibasahi air hujan.

Kesan daripada kebocoran itu menyebabkan berlaku kerosakan pada siling rosak, malah ada yang sudah reput menunggu masa untuk jatuh ke lantai.

Pengerusi masjid, Abdullah Mohd Zain, 70, berkata, bumbung asal yang diperbuat daripada kayu tidak pernah diganti baharu sejak masjid berkenaan dibina penduduk lebih 100 tahun lalu.

Katanya, bahagian bumbung sudah banyak yang reput dimakan anai-anai dan perlu ditukar baharu kerana dibimbangi berlaku runtuhan.

Menurutnya, pihaknya juga sudah membuang beberapa siling yang rosak teruk yang bila-bila masa saja boleh jatuh.

“Kos untuk mengganti siling, bumbung dan atap sangat tinggi. Kami tidak mampu. Kutipan tabung masjid pun tidak seberapa.

“Memang kami sangat mengharapkan sumbangan, sama ada kerajaan negeri, agensi swasta, NGO atau orang perseorangan untuk tujuan itu.

“Masjid ini hanya nampak gah di luar saja tetapi dalaman terutama bahagian atas sudah banyak yang rosak,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Abdullah, kampung berkenaan terpencil yang jauh di pedalaman dengan 500 orang penduduk.

Katanya, pendawaian masjid berkenaan juga sudah lama dan perlu diganti baharu kerana dibimbangi berlaku litar pintas.

“Sejak dulu, ia (pendawaian elektrik) baharu sekali ditukar, itupun sudah lebih 20 tahun.

“Bangunan ini dicat baharu kira-kira dua tahun lalu menggunakan hasil sumbangan orang ramai dan orang perseorangan serta duit tabung masjid.

“Kami jawatankuasa masjid sangat mengharapkan ada pihak yang sudi membantu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd