Jepun bangunkan dron AI kesan beruang, elak konflik manusia-haiwan

Jepun bangunkan dron AI kesan beruang, elak konflik manusia-haiwan

Tokyo: Sebuah sekolah dron di timur laut Jepun sedang membangunkan sistem baharu menggunakan dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti serta menjejak beruang secara automatik susulan peningkatan insiden membabitkan haiwan itu, lapor Agensi Berita Kyodo.

Sistem baharu yang dibangunkan oleh D-Academy Tohoku di Gojome, Wilayah Akita ini berupaya mengesan beruang yang tersembunyi daripada pandangan di kawasan pergunungan atau bandar dan berkongsi lokasi haiwan itu menerusi telefon pintar. Ia dijangka tersedia pada 2026 dan pihak berkuasa tempatan sudah menunjukkan minat yang mendalam.

Pesawat itu, yang berukuran 98 sentimeter (cm) panjang, 76 cm lebar dan 48 cm tinggi, akan dilengkapi dengan kamera penglihatan malam dan kamera inframerah bagi mengukur suhu.

Sebaik saja menerima laporan penemuan, juruterbang akan melancarkan pesawat dan menerbangkannya di kawasan itu sambil menghantar imej. Imej-imej ini dianalisis oleh perisian AI yang dipasang pada komputer peribadi, dan jika beruang dikesan, pesawat akan bertukar kepada penerbangan autonomi dan menjejak haiwan berkenaan.

Dengan masa penerbangan selama satu jam, ia akan menyerahkan tugas pengawasan kepada pesawat lain dan kembali ke pangkalan secara automatik sebelum bateri habis.

Data lokasi yang diperoleh melalui GPS dikongsi dalam masa nyata dengan kerajaan, polis dan kelab pemburu melalui aplikasi telefon pintar khusus.

Akademi itu meningkatkan ketepatan pengesanan AI dengan mengumpul gambar beruang hitam dan perang dengan kerjasama sebuah zoo di Kitaakita. Hasilnya, sistem itu boleh mengenal pasti haiwan ini walaupun badan mereka sebahagian besarnya terlindung, sesuatu yang sukar dilihat oleh mata manusia.

Kanako Ishii dari D-Academy Tohoku berkata dengan sistem baharu ini, “sebilangan kecil orang boleh mencari beruang di kawasan yang luas, dan pengesanan awal akan memberi lebih banyak pilihan selain membunuh haiwan itu, seperti menghalau atau memberi amaran kepada orang ramai.”

“Kami berharap dapat mencipta sistem yang mengurangkan pertemuan tidak diingini antara manusia dan beruang serta menggalakkan pemisahan yang lebih baik antara kedua-duanya,” katanya.

Syarikat lain turut membangunkan sistem serupa. NTT Docomo Business Inc, dengan kerjasama sebuah kampung di Wilayah Fukushima, telah menerbangkan dron di kawasan itu untuk mengesan lokasi beruang secara visual sejak Oktober, manakala Fujitaka Corp mula menawarkan dron pengesan beruang dilengkapi AI pada November.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top