sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua jaguh Muay Thai dari Malaysia, Ammarul Shafiq dan Jordan Boy, bakal berentap dalam acara Byon Combat Showbiz Vol 5 yang dijadual berlangsung pada 28 Jun ini di Tennis Indoor Senayan, Jakarta.
Pertarungan kategori kickboxing itu menjadi tumpuan kerana ia bakal menentukan siapa yang layak menentang petinju sensasi Indonesia, Serieal Effendy, yang dikenali dengan gelaran ‘Final Boss’.
Jordan Boy, atau nama sebenarnya Mohammed Mahmoud, tampil dengan misi menebus kekalahannya sebelum ini apabila tewas kepada Serieal Effendy menerusi kemenangan TKO (technical knockout) dalam pusingan pertama di Byon Combat Vol 4.
Dalam pertarungan itu, Jordan gagal mempertahankan diri selepas diasak bertubi-tubi hingga pengadil menghentikan perlawanan atas faktor keselamatan.
Sementara itu, Ammarul juga muncul sebagai pencabar baharu yang mencuri perhatian peminat tempur tanah air.
Walaupun tidak sepopular Jordan, Ammarul menunjukkan keyakinan tinggi dan menganggap perlawanan ini sebagai peluang terbesar dalam kariernya.
Byon Combat adalah platform seni bela diri hiburan yang semakin mendapat tempat di Asia Tenggara.
Ia menampilkan gabungan pertarungan sebenar dengan elemen hiburan seperti promosi dramatik, penciptaan persona atlet, serta penceritaan latar belakang yang menarik di media sosial.
Pendekatan ini bukan sahaja menambat hati peminat setia sukan tempur, malah turut menarik perhatian khalayak umum yang gemarkan hiburan berunsur aksi dan dramatik.
Selain pertarungan antara Ammarul dan Jordan, Byon Combat Vol 5 turut menyajikan barisan pertarungan menarik seperti pertembungan utama antara Kkajhe dan Aziz Calim, serta pertarungan antara Jaden dan Andi Cobra sebagai Co-Main Event.
Pertarungan antara dua anak jati Malaysia ini dijangka mencetuskan fenomena tersendiri, apatah lagi dengan ganjaran utama berupa peluang bersemuka dengan Serieal Effendi yang juga lagenda Muay Thai Indonesia yang tersohor dengan deretan kejuaraan di pentas domestik dan antarabangsa.
Bagi peminat seni bela diri hiburan, ini bukan sekadar satu lagi acara pertarungan tetapi pertarungan maruah dan impian ke pentas tertinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




