Vancouver: Omar Marmoush pernah menolak peluang menyarung jersi Kanada, namun di Vancouver, Isnin ini, dia berpeluang mengukir sejarah bersama Mesir dalam misi memburu kemenangan pertama negara itu di pentas Piala Dunia.
Mesir muncul kuasa besar bola sepak Afrika dengan tujuh gelaran Piala Negara-Negara Afrika, namun masih belum pernah memenangi sebarang perlawanan dalam lapan aksi Piala Dunia.
Pertemuan dengan New Zealand yang berada 56 anak tangga di bawah Mesir dalam ranking FIFA memberi peluang terbaik buat The Pharaohs untuk mencatat kemenangan sulung dan mara melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama.
Bagi Marmoush, perlawanan itu juga menjadi pentas untuk membuktikan kemampuannya di arena antarabangsa.
Di sebalik status bintang Mohamed Salah dalam skuad kebangsaan, Marmoush turut terpaksa bersaing dengan Erling Haaland sejak menyertai Manchester City 17 bulan lalu.
“Ia sukar, tetapi pada masa sama menjadikan anda lebih baik. Apabila berada di atas padang, anda perlu memberikan yang terbaik kerana sentiasa ada pemain lain yang menunggu untuk mengambil tempat anda.
“Saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Seluruh perjalanan karier saya membawa saya ke sini, untuk bersaing dan bermain bersama pemain terbaik dunia serta memenangi kejuaraan,” katanya dalam wawancara bersama GQ Middle East.
Anak kelahiran Kaherah itu meninggalkan kelab Wadi Degla dan Mesir ketika berusia 18 tahun untuk memulakan karier di Eropah bersama Wolfsburg.
Selepas tempoh pinjaman bersama St Pauli dan Stuttgart, dia menyerlah bersama Eintracht Frankfurt sebelum berpindah ke Manchester City dengan nilai €70 juta euro (RM351 juta).
Ketika masih membina nama di Jerman, perkembangan Marmoush menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Kanada.
Ibu bapanya memperoleh kerakyatan Kanada selepas bekerja di negara itu sebelum dia dilahirkan.
“Pasukan kebangsaan Kanada menghubungi saya dan jurulatih mereka sendiri menelefon saya.
“Tetapi ketika panggilan itu diterima, keputusan saya sudah dibuat. Pasukan kebangsaan saya adalah Mesir dan saya meletakkan Mesir mengatasi segala-galanya,” katanya.
Walaupun belum menikmati status sehebat Salah, Marmoush kini menjadi pemain penting dalam usaha Mesir melangkah lebih jauh di Piala Dunia.
Perkembangannya turut membantu mengurangkan beban jaringan ke atas Salah yang pada usia 34 tahun mengharungi musim terakhir yang mengecewakan bersama Liverpool selepas sembilan tahun penuh gemilang.
“Mesir ialah pasukan yang gemar bertahan dan melakukan serangan balas, selain memiliki dua pemain hebat iaitu Salah dan Marmoush yang sangat pantas,” kata jurulatih Belgium, Rudi Garcia selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan G.
© New Straits Times Press (M) Bhd




