Saliba beri amaran jangan pandang mudah Iraq

Saliba beri amaran jangan pandang mudah Iraq

Massachusetts: Perancis mungkin dianggap pilihan utama menjelang aksi kedua Kumpulan I Piala Dunia menentang Iraq, Selasa ini, namun pertahanan William Saliba menjangkakan perlawanan yang sukar buat pasukannya.

Naib juara Piala Dunia 2022 dan juara dunia 2018 itu mengutip tiga mata selepas menewaskan Senegal 3-1, manakala Iraq tewas 4-1 kepada pendahulu kumpulan, Norway dalam aksi pembukaan.

“Mereka mempunyai pasukan yang bagus dan ia tidak akan mudah walaupun ramai beranggapan sebaliknya.

“Mereka layak ke sini selepas menewaskan Bolivia dan juga seri dengan Sepanyol. Kami menjangkakan satu pertarungan hebat,” kata Saliba pada sidang media, hari ini.

Iraq yang seri 1-1 dengan Sepanyol dalam aksi persahabatan beberapa hari sebelum kejohanan bermula masih belum pernah mencatat kemenangan di Piala Dunia selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan pada penampilan tunggal mereka pada 1986.

Mereka terpaksa mengharungi 21 perlawanan kelayakan sebelum meraih tiket ke kejohanan ini, termasuk menewaskan Bolivia 2-1 dalam playoff antara benua pada penghujung Mac lalu.

Seorang lagi pertahanan Perancis, Lucas Digne menjangkakan aksi yang penuh intensiti kerana Iraq perlu meraih keputusan positif untuk terus bersaing.

“Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang sangat sengit. Mereka bermain untuk terus kekal dalam kejohanan, jadi kami menjangkakan aksi yang banyak membabitkan kekuatan fizikal.

“Kami tahu sistem 4-4-2 yang mereka gunakan serta ancaman di bahagian serangan. Ia akan menjadi perlawanan yang lebih langsung dan kami perlu bersedia,” katanya.

Saliba dan rakan sepasukannya sebelum ini mengkritik kualiti padang ketika aksi pertama di Stadium New York/New Jersey dan berharap keadaan lebih baik menanti mereka di Philadelphia.

“Saya agak terkejut dengan keadaan padang. Ia terasa seperti padang tiruan dan agak keras, tetapi kami tetap perlu bermain.

“Rumputnya memang tidak berada pada tahap terbaik. Memang kedua-dua pasukan bermain di atas padang yang sama, tetapi kualitinya bukan yang terbaik,” kata Saliba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top