JPJ gerakkan operasi khas Tahun Baharu Cina

JPJ gerakkan operasi khas Tahun Baharu Cina

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Shah Alam: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menggerakkan operasi khas sempena Tahun Baharu Cina 2026, termasuk menyamar sebagai penumpang dalam bas untuk memantau pematuhan keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan bermula hari ini hingga 22 Februari.

Operasi itu membabitkan pemeriksaan pengangkutan awam, kenderaan persendirian, dan kenderaan barangan bagi memastikan semua piawaian keselamatan dipatuhi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi turut dilaksanakan serentak di seluruh negara di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan pematuhan semua pengguna jalan raya.

“Sepanjang operasi ini, JPJ menekankan aspek keselamatan pengguna jalan raya melalui pematuhan pemasangan dan fungsi Peranti Had Kelajuan (SLD).

“Ini bagi memastikan kenderaan perdagangan yang beroperasi mematuhi had kelajuan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di Terminal 17, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, pihaknya menegaskan pengusaha dan pemandu bas perlu memastikan penumpang memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.

Katanya, ia bukan sahaja mematuhi undang-undang tetapi juga mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan.

“Kesalahan Kaedah 4 dan 4A Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008) bagi sesiapa yang tidak memakai tali pinggang keledar akan dikenakan kadar kompaun RM300.

“Selain itu, bagi memastikan keselamatan perjalanan jarak jauh, pengusaha bas awam diwajibkan menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) untuk mengelakkan keletihan dan memastikan perjalanan lebih terkawal,” katanya.

Beliau berkata, JPJ turut menegaskan semua pemandu perlu mematuhi disiplin pemanduan di lebuh raya, termasuk menggunakan lorong kanan hanya untuk memotong serta mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Menurutnya, larangan pemanduan kenderaan barangan sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2026 akan berkuat kuasa bermula hari ini hingga esok serta 21 hingga 22 Februari 2026 bagi melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan.

“JPJ menyeru semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan, merancang perjalanan awal, memastikan kenderaan selamat, dan berehat secukupnya sebelum memandu, kerana keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab

bersama.

“Laporkan aduan berkaitan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui Aplikasi MyJPJ melalui menu e-aduan@jpj atau melalui e-mel JPJ, aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top