Jumpa di hotel sekadar ucap tahniah

Jumpa di hotel sekadar ucap tahniah

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perjumpaan tertutup Ahli Parlimen komponen Barisan Nasional (BN) di hotel di sini, malam ini, tidak menyentuh soal pelantikan Jemaah Menteri.

Ahli Parlimen Kuala Krau dari UMNO, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata perjumpaan itu sekadar mahu mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bakal dilantik Perdana Menteri.

Katanya, Ahli Parlimen BN hanya meraikan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik pemimpin nombor satu negara.

“Saya menafikan dakwaan kononnya perjumpaan malam ini membabitkan Kabinet Ismail Sabri.

“Tiada perkataan dikeluarkan Ahli Parlimen berkaitan isu itu. Kita hadir untuk ucap tahniah kepada Ismail Sabri,” katanya ketika ditemui media, di hotel itu, malam ini.

Terdahulu, Ismail Sabri beredar dari hotel itu, pada jam 10.50 malam, selepas menghadiri perjumpaan berkenaan lebih dua jam.

Turut dilihat meninggalkan hotel itu ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top