JUPEM raih anugerah, bantu negara perangi Covid-19

JUPEM raih anugerah, bantu negara perangi Covid-19

Kuala Lumpur: Kejayaan membanggakan apabila Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) meraih Anugerah GeoInnovation susulan pendekatannya dalam menggunakan teknologi geospatial bertujuan membantu negara menguruskan pandemik Covid-19.

Anugerah berprestij itu yang diberikan hanya kepada organisasi terpilih setiap tahun oleh penyedia solusi geospatial terkemuka Esri Malaysia, mengiktiraf organisasi terhadap penggunaan teknologi geospatial dalam menangani cabaran dunia sebenar.

Ketua Pengarah JUPEM, Datuk Sr Dr Azhari Mohamed, berkata, teknologi geospatial sentiasa menjadi nadi pelbagai inisiatif JUPEM.

Menurutnya, di sebalik fungsi teras agensi dalam bidang ukur kadaster dan pemetaan topografi, teknologi itu memperkasakan JUPEM dalam memberi sokongan kepada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

“Antaranya adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara dalam menguruskan krisis dan hal kecemasan negara seperti banjir, tanah runtuh, malah kejadian pencemaran.

“Apabila setiap saat berharga dan risikonya tinggi, agensi barisan hadapan perlu membuat keputusan yang dipacu oleh data masa nyata yang berwibawa yang tepat.

“Inilah waktunya projek Defence Geospatial Information Management (DGIM) kami memainkan peranan dengan membantu pihak berkepentingan dengan cepat menggabung, menggambarkan dan paling penting menerima pakai data daripada pelbagai agensi,” katanya.

Dr Azhari berkata, DGIM dijana oleh platform ArcGIS, teknologi serupa yang menyokong organisasi seperti WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika Syarikat dan pihak berkuasa lain dapat memantau penyebaran virus dan mengambil langkah pencegahan, pengawasan dan kawalan kritikal.

Bagi pandemik Covid-19, DGIM digunakan untuk menyediakan Joint Common Operating Picture (JCOP) dalam usaha untuk memudahkan kerjasama lancar bersama pasukan pengurusan krisis Covid-19 MKN.

“Platform berkenaan antara lain memaparkan bilangan kes wabak harian dan kumulatif di negara ini, fahaman mengenai pengezonan daerah berdasarkan kod warna, dan mengenal pasti kawasan tercemar yang memerlukan proses sanitasi.

“Menerusi kapasitinya untuk mengumpul dan menggambarkan pelbagai set data daripada pelbagai agensi kepada satu platform pemetaan, pihak berkepentingan disediakan dengan kesedaran situasi masa nyata bagi membantu untuk mengatur usaha tindak balas Covid-19 di lapangan,” katanya.

Dr Azhari berkata, Covid-19 mendorong pelbagai organisasi untuk mengguna pakai transformasi digital dalam tempoh yang singkat, JUPEM pula memperoleh manfaat daripada pendekatan maju terhadap inovasi.

“JUPEM berupaya untuk memenuhi permintaan krisis dengan pantas kerana agensi itu merancang dan menyediakan pelan operasi pengurusan kecemasan dan membentuk DGIM sebagai platform yang menyediakan jenis hubungan, ketangkasan dan pengukuran pantas yang diperlukan oleh kedua-dua operasi berdasarkan operasi harian dan kecemasan,” katanya.

Beliau menambah, Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP), Brigadier Jeneral Sr Dr Mohd Zambri dan beliau percaya bahawa keupayaan teknologi sedemikian yang sedia ada membantu JUPEM dan agensi lain menguruskan krisis negara dengan berkesan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, C S Tan, berkata JUPEM menunjukkan komitmen berterusan untuk meningkatkan strategi tindak balas kecemasan negara.

“Kepimpinan JUPEM membuktikan bahawa penggunaan teknologi tepat yang disesuaikan dengan keperluan khusus mampu menghasilkan perubahan dalam menyelamatkan nyawa ketika waktu kecemasan negara seperti pandemik,” katanya.

Pada tahun 2018, JUPEM merangkul Anugerah Geoinnovation Esri Malaysia bagi Projek Exemplary GIS dan BGSP pula meraih anugerah Pencapaian Khas dalam GIS (SAG) pada tahun 2019.

Secara umum, Esri Malaysia adalah pihak berkuasa utama negara dalam teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan lebih khusus sebagai platform ArcGIS terkemuka di dunia.

Esri Malaysia bekerja keras sejak tiga dekad yang lalu untuk membina rekod pencapaian yang kukuh, memperoleh kepercayaan agensi kerajaan dan perusahaan komersil yang paling progresif.

Reputasi dan komitmen terhadap kualiti menyaksikan syarikat kami telah dianugerahkan beberapa projek penting di negara ini, termasuk pelancaran Infrastruktur Data Geospatial Malaysia, projek pemodenan pemetaan JUPEM dan projek Sistem Maklumat Geospatial Pertahanan

Scroll to Top