Jurufoto, anda pendakwah!

KITA akan tersenyum sendiri bila tengok gambar-gambar lama, lebih-lebih lagi jika gambar itu berkaitan dengan kisah silam kita. Ada kalanya, hanya dengan sekeping gambar, kita rasa bahagia, tenang dan nyaman. Ada juga ketikanya kita rasa sayu, sedih, bahkan mungkin menangis, juga hanya kerana sekeping gambar. 

Sedarkah kita, gambar-gambar itu tidak akan wujud tanpa ada jurugambar atau jurufoto yang merakamkan detik-detik penting kehidupan dalam bentuk foto. Detik-detik penting dan babak-babak (moments) yang mungkin tidak akan berulang kembali pada masa akan datang.

Advertisement

Pernahkah kita lihat dalam sesuatu majlis, ada manusia yang nampak sibuk ke sana ke sini mengendong lensa dan kamera? Kameranya tersangkut di bahu kiri dan kanan, lensanya ada yang kecil, besar, panjang, pendek, berat dan ringan. Terselit keliling pinggang. Sekali tengok dah macam kelongsong peluru nak pergi perang.

Mereka inilah jurufoto-jurufoto yang sedang menjalankan misi penting, merakamkan detik penting untuk menjadi bahan sejarah. Tanpa mereka, kita mungkin tidak tahu dengan tepat sejarah sesuatu perkara! Jurufoto juga adalah seorang ‘penulis’ sejarah.

Di dalam PAS, jurufoto ini sangat ramai. Mereka dikumpulkan di dalam Alternative Photography Club (APC), kelab di bawah DACS (Department Of Arts Culture And Sport) Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Mereka bekerja siang dan malam tanpa mengharap balasan upah. Kadang-kadang sampai tak sempat makan. Masa pegang kamera, tak sedar perut berbunyi lapar kerana mata asyik memerhatikan sekeliling detik dan babak yang perlu dirakamkan. Dah selesai majlis, baru sedar perut dah menyanyi macam-macam lagu, lapar! 

Sebenarnya, selain kamera, al-Quran dan Hadis turut mempunyai fungsi merakamkan detik dan babak-babak penting. Bahkan lebih daripada itu, memberi panduan dan petunjuk kehidupan kepada seluruh manusia dan alam.

Lebih separuh daripada isi kandungan al-Quran memaparkan kisah-kisah silam yang dirakamkan di dalam bentuk ayat-ayat al-Quran. Kebanyakan ayat itu pula mengandungi ‘asbabul nuzul’ atau peristiwa yang berlaku yang menyebabkan turunnya ayat itu. Peristiwa itu pula lazimnya dirakamkan dalam bentuk Hadis. Hadis itu pula diceritakan oleh Rasulullah S.A.W sendiri, dan disaksikan pula oleh para Sahabat Baginda R.A.

Al-Quran dan Hadis merakamkan detik penting dan menyampaikan mesej yang benar, mendidik dan memimpin masyarakat. 

Jurufoto juga mempunyai tanggungjawab yang sama, merakamkan detik dan babak yang penting. Dengan tujuan untuk menyampaikan mesej yang benar bagi mendidik dan memimpin masyarakat. Jurufoto tidak boleh menggunakan kemahirannya untuk menyebarkan fitnah, membuka aib seseorang, apatah lagi untuk merosakkan dan menyesatkan manusia. 

Selamat Hari Fotografi Sedunia. Jurufoto, anda juga adalah pendakwah!

AFNAN HAMIMI
Alor Setar | 20 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 20/8/2021

Sumber Asal: t.me/afnanhamimitaibazamudden/66