Kabilan mahu cipta sejarah peribadi

Kabilan mahu cipta sejarah peribadi

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Petarung ONE Championship, Kabilan Jelevan, bakal mencipta sejarah peribadi apabila membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa menerusi kejohanan BYON Combat Showbiz Vol 5, yang dijadual berlangsung di Indonesia pada 28 Jun ini.

Petarung agresif setinggi 167.6 sentimeter itu dikenali dengan gaya bertarung bertenaga dan disiplin tinggi di dalam gelanggang, dan bakal berdepan lawan dari Indonesia, Brian Lawitan, dalam perlawanan yang dijangka sengit dan mencuri tumpuan peminat seni bela diri rantau ini.

Penyertaan rasmi Kabilan dalam kejohanan itu disahkan menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi Byon Combat, yang memaparkan detik dia menandatangani kontrak perlawanan.

Kabilan secara rasmi menandatangani kontrak penyertaan untuk Byon Combat Showbiz Vol 5, sekali gus mengesahkan kehadirannya sebagai wakil Malaysia yang akan beraksi di pentas antarabangsa.

Petarung berbakat itu dijangka membawa cabaran negara dengan penuh semangat dan komitmen di Jakarta.

Perlawanan ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam karier Kabilan, selepas mencatat kemenangan dramatik ke atas petarung Kenya, Dave, dalam kategori 62 kilogram (kg) Bout 4 di kejohanan Kejohanan Rentap Fighting yang berlangsung pada 18 Januari lalu.

Dengan semangat membara dan reputasi yang semakin meningkat dalam arena seni bela diri, Kabilan kini bersedia membawa nama Malaysia ke pentas lebih tinggi, sekali gus membuktikan keupayaannya beraksi di peringkat antarabangsa.

Perlawanan menentang Brian Lawitan juga dijangka menjadi ujian sebenar buat Kabilan, memandangkan lawannya wakil Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) yang cukup dikenali dalam komuniti seni bela diri tempatan sebagai calon bintang masa depan dalam kategori 61kg.

Acara Byon Combat Showbiz Vol 5 akan diadakan di Tennis Indoor Senayan, Jakarta, dan turut disiarkan secara langsung menerusi platform Vidio melalui sistem bayar untuk tontonan (pay per view).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top