Selindung di sebalik kredit komuniti

Selindung di sebalik kredit komuniti

saufi@mediaprima.com.my

Ketika isu pelarian Rohingya hangat diperkatakan, satu lagi isu yang seolah-olah tidak berkesudahan menimbulkan keresahan rakyat di negara ini.

Lintah darat, ceti haram atau along seperti kebal daripada sebarang tindakan dengan pelbagai tindakan melampaui batas diambil ke atas mangsa. Terbaru isu pemindahan aset peminjam tanpa kebenaran seperti laporan Harian Metro semalam membuka satu lagi persoalan.

Wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN mendapatkan aktivis banteras ceti haram AZMAN KANG ABDULLAH yang lantang menyuarakan isu ini yang disifatkannya masih boleh dibanteras dengan kerjasama padu semua pihak.

Sejak bila isu along atau sindiket memanipulasi dokumen dan mengambil alih hak ke atas aset peminjam?

Kalau diikutkan memang sudah lama kita dengar isu along ‘merampas’ harta peminjam ini.

Sebelum ini, kita mungkin sudah biasa dengan melempar cat merah, ugutan kata-kata sama ada mesej di telefon bimbit mahu pun kertas yang ditampal di rumah.

Mungkin ramai yang tidak perasan, isu tukar hak milik ini juga banyak berlaku. Ada yang dilaporkan kepada pihak berwajib dan ada yang senyap, mungkin kerana kesilapan sendiri.

Bagaimana boleh sampai ke tahap peminjam hilang harta benda seperti rumah dan hartanah?

Satu saja. Ugutan. Bagi peminjam, bila mereka mula diugut, mereka rasa terancam dan tidak selamat. Untuk menyelesaikan masalah, ada yang sanggup menyerahkan dokumen perjanjian atau bersetuju harta mereka diserahkan. Sebagai balasan, pinjaman mereka selesai dan tiada lagi gangguan along. Tapi tak semua deal berakhir begitu.

Ada juga kes along sendiri menggunakan jaringan dengan pengamal undang-undang untuk peminjam menandatangani perjanjian tertentu.

Kita pernah terima kes ada dokumen yang dimanipulasi, hanya kertas fotostat untuk meyakinkan peminjam urusniaga itu sah di sisi undang-undang.

Dalam kebanyakan kes, kenapa along berani sampai begitu sekali? Nilai kerugian bukan sedikit, mencecah puluhan juta ringgit.

Inilah isu pokok. Tindakan penguatkuasaan yang mungkin ada kelompongan. Dari segi teknikalnya mungkin peminjam juga salah, pinjam tapi tak mahu bayar.

Tapi dari sudut lain, sebenarnya jika ada tindakan tegas, khususnya kepada along yang didapati menjadikan Kredit Komuniti untuk mengaburi mata pihak berwajib.

Ada peminjam lega kerana berurusan dengan Kredit Komuniti, tetapi selepas itu terduduk selepas dikenakan caj yang lebih tinggi daripada sepatutnya. Rupanya mereka itu pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Kemunculan along Singapura juga seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Boleh komen?

Mereka ini timbul sejak kira-kira lima tahun lalu. Sebelum itu tak ada. Yang pasti, orang kita yang bekerja di sana meminjam daripada ceti haram untuk menyelesaikan masalah kewangan. Itulah permulaannya.

Isu along Singapura ini bukan isu baru. Sebelum ini juga ada kes mereka bertindak ganas kepada peminjam warga tempatan, tanpa tindakan.

Kenapa tak ada tindakan? Ia mungkin isu teknikal perundangan. Pinjam di sana, lari ke sini. Bila along cari, jumpa di sini, bila nak ambil tindakan, along itu lari ke sana, jadi rumit.

Mereka berani kerana identiti mereka sukar dikesan pihak berkuasa Malaysia dan tiada tindakan segera yang boleh diambil.

Mereka boleh ugut dan balik ke sana tanpa sebarang tindakan. Sehinggakan, ada yang berani buka cawangan di sini dan bertindak sesuka hati. Sekali lagi, ia berkait dengan penguatkuasaan. Tidaklah sampai tak boleh sekat kerana polis kita pun sudah banyak kali gempur mereka di sini.

Sampai hari ini masyarakat kita dihantui dengan balingan cat merah dan molotov cocktail. Secara simboliknya, kenapa cat merah?

Kalau ikutkan kes yang pernah dikendalikan sebelum ini, ia berkaitan ancaman untuk menakut-nakutkan peminjam.

Senang cakap, ia jalan akhir along untuk menakut-nakutkan peminjam. Mangsa akan takut, malu dengan jiran-jiran dan keluarga sampai terfikir untuk lari. Ada kes sehingga bersembunyi, isytihar kematian sendiri dan ada yang terpaksa berhentikan anak-anak dari sekolah semata-mata untuk lari dari ceti haram.

Cat merah adalah simbolik kepada darah dan ini yang digunakan untuk mengancam peminjam kononnya mereka sampai ke tahap boleh mencederakan sesiapa yang ingkar.

Begitu juga bom petrol. Ia bertujuan agar peminjam kecut perut dengan keganasan yang mereka tidak fikir along boleh lakukan. Semua ini adalah jenayah dan saya fikir masyarakat juga perlu membantu polis dengan menyalurkan maklumat hingga pelaku ini ditangkap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top