Rahsia sungai purba terbongkar

Rahsia sungai purba terbongkar

Baghdad: Uruk, metropolis pertama di dunia yang dianggap tempat kelahiran tulisan menerima sumber air dari Sungai Furat. Sungai sama turut menyuburkan Babylon iaitu antara kota paling agung dan megah di Mesopotamia purba.

Ini antara dapatan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience.

Menurut kajian itu, dataran subur di antara Sungai Furat dan sungai pasangannya, Sungai Tigris adalah antara lokasi terawal bermulanya tamadun manusia.

Menggunakan teknologi moden, penyelidik kini berjaya merungkai bagaimana Sungai Furat mula terbentuk pada zaman prasejarah.

Kajian berkenaan meneliti tempoh jauh lebih awal berbanding kewujudan pusat bandar purba itu yang muncul hanya beberapa ribu tahun lalu.

Berpandukan imej seismik mendapan tertimbus dan data lain, penyelidik mendapati Sungai Furat berkemungkinan terbentuk antara 3.6 juta hingga 1.6 juta tahun lalu.

Sungai berkenaan dipercayai terbentuk apabila dua sistem sungai terdahulu bercantum akibat aktiviti tektonik di Pergunungan Taurus di selatan Turkiye.

Sungai Furat yang menjadi sungai terpanjang di Asia Barat dengan panjang kira-kira 2,800 kilometer. Ia bermula di Turkiye dan mengalir melalui Syria serta Iraq sebelum akhirnya mengalir ke Teluk.

Antara bandar moden yang terletak di tebing sungai ini termasuk Birecik di Turkiye, Raqqa di Syria serta Ramadi, Fallujah dan Nasiriyah di Iraq.

Kota purba terkenal yang pernah wujud di sepanjang sungai ini termasuk Ur dan Mari.

Walaupun Sungai Furat sudah lama membentuk geologi rantau itu, garis masa asal usul serta evolusi laluan semasanya masih menjadi misteri.

Penyelidik berkata, merungkai sejarah sungai itu penting untuk memahami pencapaian besar dalam sejarah tamadun manusia termasuk perkembangan pertanian, penulisan dan pembentukan bandar di kawasan dataran banjirnya.

Ahli geologi turut mengesan saluran tertimbus yang dipercayai berasal dari lebih lima juta tahun lalu ketika mengkaji kemungkinan rizab gas di bawah Laut Mediterranean.

Kawasan berkenaan dipercayai wujud ketika sebahagian besar kawasan laut mengering iaitu satu peristiwa yang dikenali sebagai krisis Messinian salinity.

Alat utama yang digunakan oleh saintis ialah pengimejan seismik, satu teknik yang menghasilkan peta dua dan tiga dimensi terperinci bagi permukaan bawah Bumi dengan merakam bagaimana gelombang bunyi bergerak melalui dan melantun dari lapisan batuan bawah tanah.

Melalui pengimejan seismik, mereka mengesan ciri-ciri saluran sungai purba yang tersembunyi di bawah dasar laut.

Kajian sama mencadangkan bahawa Sungai Furat pernah mengalir ke arah Laut Mediterranean sebelum perubahan tektonik berjuta-juta tahun lalu mengubah arah alirannya ke Teluk Parsi.

Menurut mereka, kajian berkenaan juga menunjukkan bahawa aliran sungai yang paling besar sekalipun boleh diubah oleh peristiwa geologi yang dramatik.

“Hari ini, air dari Sungai Furat dan Sungai Tigris bergabung berhampiran Basra, Iraq, untuk membentuk delta besar di Teluk Parsi iaitu kawasan di mana pertanian awal dan tulisan kuneiform berkembang,” menurut penyelidik dalam kejadian berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top