Kain rentang untuk mendidik

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Shah Alam: Pemasangan kain rentang berhubung isu memberi makan kepada haiwan terbiar atau berkeliaran adalah sebagai salah satu kaedah didikan.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kenyataannya berkata, perbuatan memberi makanan kepada haiwan terbiar atau berkeliaran itu juga adalah satu kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 81 selain menyebabkan kawasan tersebut menjadi kotor.

Menurut kenyataan itu, pemasangan kain rentang itu adalah salah satu pelaksanaan kempen memberi makan secara bertanggungjawab.

“Setiap individu perlu bertanggungjawab ke atas haiwan yang diberi makan seperti mengambil dan memelihara haiwan tersebut di rumah masing-masing serta menjaga kebajikannya.

“Malah, mereka yang memberi makanan kepada mana-mana haiwan boleh dianggap sebagai pemilik haiwan ini mengikut Akta Kebajikan Haiwan, Seksyen 33,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular dalam laman sosial Facebook memaparkan pemasangan kain rentang itu yang menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai berhubung tindakan MBSA.

Dalam pada itu, kata kenyataan itu, pemasangan kain rentang berkenaan dapat memberi pendedahan kepada masyarakat agar dapat bekerjasama bersama MBSA untuk menangani isu haiwan yang terbiar atau berkeliaran.

“Tahun lalu kita menerima sebanyak 1,840 aduan berkaitan anjing yang berkeliaran. Aduan yang diterima ini menyebabkan gangguan kepada orang ramai dan jika tidak dibendung akan meningkatkan lagi jumlah aduan anjing terbiar yang berkeliaran.

“Kita ingin menasihatkan kepada orang ramai yang ingin membuat aduan berkaitan haiwan berkeliaran boleh menyalurkan aduan tersebut kepada MBSA,” katanya.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Malay News
Social Media Updates