bhnews@bh.com.my
TAIPING: Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta mengkaji semula kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan Perhimpunan Santai Anak Utara (SAU) 2022 di Bukit Merah Lake Town Resort (BMLR) pada Sabtu ini berikutan trend kenaikan kes COVID-19 yang membimbangkan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihak polis tidak pernah memberikan kelulusan untuk program itu diadakan, sebaliknya kebenaran program adalah bawah bidang kuasa MKN.
Katanya, difahamkan, MKN negeri sudah pun meluluskan permohonan program itu sebelum ini.
“Namun oleh kerana peningkatan kes COVID-19 bukan sahaja berlaku di negeri ini, malah di seluruh negara, MKN dan penganjur diharap dapat mengkaji semula atau menangguhkan program SAU ini pada satu tarikh sesuai. Ini kerana kehadiran peserta pada program ini dijangka melebihi puluhan ribu orang.
“Saya yakin penganjur akan turut menilai semula program ini dan sekiranya ia tetap dilaksanakan, polis akan memantau pelaksanaan program ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, hari ini.
Perhimpunan SAU 6.0 pernah diadakan di BMLR pada 6 Oktober 2018 dengan kehadiran peserta hampir 30,000 orang.
Media turut melaporkan sebanyak 316 saman dikeluarkan pihak polis daerah Kerian atas pelbagai kesalahan.
Penduduk tempatan, khususnya yang tinggal berhampiran turut menyuarakan kebimbangan peningkatan kes COVID-19 di kawasan itu, selain berlakunya kesesakan jalan raya dan menyusahkan penduduk setempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




