Kaji semula kuota pemain import

Kaji semula kuota pemain import

Kota Bharu: Kajian semula kuota pemain import wajar dilakukan bagi membantu merancakkan semula saingan Liga Malaysia (Liga-M), kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC Ahmad Muzakkir Hamid.

Beliau yang pernah terlibat dalam pengurusan pasukan Liga-M berkata cadangan beberapa pihak supaya kuota pemain import dikaji semula mempunyai rasional tersendiri, khususnya untuk pasukan Liga Super.

“Saya melihat cadangan itu mampu membantu pasukan mengurangkan kos pengurusan yang semakin meningkat, selain merapatkan jurang antara pasukan besar dengan pasukan kecil dalam Liga-M,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan cadangan berhubung kuota pemain import dibangkitkan beberapa pihak pada sesi meja bulat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama rakan kongsi, minggu lepas.

Bagi musim ini, MFL membenarkan kelab Liga Super mendaftarkan sehingga 15 pemain import bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing.

Daripada jumlah itu, hanya enam pemain import dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa menerusi komposisi empat pemain terbuka, satu pemain Asia dan satu pemain Asean manakala tiga lagi berada di bangku simpanan.

Mengulas lanjut, Ahmad Muzakkir yang juga pemerhati bola sepak tempatan berkata pengurangan kuota pemain import turut membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Langkah itu juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan kelab terutama berkaitan isu tunggakan gaji pemain kerana pengurusan pasukan tidak perlu terlalu bergantung kepada pemain import untuk menyaingi kelab yang mempunyai kewangan kukuh.

“Ia juga mampu meminimumkan risiko pasukan menarik diri daripada Liga-M, khususnya Liga Super, akibat masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya membenarkan tiga pemain import beraksi dalam Liga-M dan pernah melaksanakan saingan tanpa pemain import.

“Pendekatan itu memberi ruang kepada pemain tempatan menonjolkan bakat dalam kesebelasan utama dan turut menyumbang kepada kejayaan Malaysia menjuarai Piala AFF 2010.

“MFL perlu mempunyai iltizam untuk melihat gambaran lebih besar demi pembangunan bola sepak negara dan bukan hanya menjaga kepentingan mana-mana kelab tertentu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top