redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bayan Lepas: “Kalau benci atau tak suka saya sekalipun, jangan sampai buat dakwaan tak berasas.
“Jangan campur aduk hal peribadi dan perniagaan, menghasut dan mengapi-apikan orang lain untuk turut sama benci saya,” kata Mohamad Fakhrullah Shahran.
Mohamad Fakhrullah, 33, atau dikenali Abang Chaqq dalam kalangan pengikutnya di TikTok memberi reaksi itu bagi mengulas isu tular membabitkan dirinya yang dipanggil memberi keterangan di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Barat Daya, Pulau Pinang pada tengah hari kelmarin.
Ia susulan dakwaan mengeksploitasi dua anaknya, Muhammad Wael, 5, dikenali Wael dan anak bongsunya, Muhammad Gibran atau nama manjanya Gibran yang berumur setahun tiga bulan di media sosial.
Selain itu, Mohamad Fakhrullah turut berdepan aduan mengerah dua anaknya untuk bekerja, bersikap garang ketika bersiaran langsung, memaksa melayan pengikut demi meraih pendapatan.
Bercerita lanjut, Mohamad Fakhrullah berkata, semua dakwaan itu tidak berasas namun dia tetap hadir ke pejabat JKM dengan membawa dua anaknya seperti dikehendaki bagi memberi keterangan serta membantu siasatan susulan aduan dikemukakan pengadu.
“Saya menyangkal semua dakwaan sebab walaupun ada terima duit ulasan berbayar, ia digunakan untuk menampung kos tambang ke lokasi, penginapan, makan minum dan upah kepada adik yang jadi pengasuh.
“Selebihnya, saya simpan duit itu di dalam akaun bank simpanan anak… waktu hadir untuk beri keterangan, saya bawa anak bersama dan kami berjumpa tiga pegawai JKM yang jadi saksi Wael dengan Gibran dalam keadaan elok (baik)
“Jadi mungkin aduan itu dibuat kerana individu terbabit tak puas hati dengan saya. Saya tak tahu siapa yang buat aduan tapi seandainya orang luar, memang melampau kerana mereka hanya tengok di media sosial, bukan secara zahir,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Mohamad Fakhrullah, selepas disoal siasat selama satu jam 30 minit, pegawai JKM terbabit mengesahkan aduan dikemukakan pengadu tidak berasas dan mengingatkannya supaya berhati-hati sebelum memuat naik sebarang perkongsian di media sosial.
“Saya tak salahkan pihak JKM kerana mereka hanya menjalankan tugas dengan bertindak selepas menerima aduan cuma berdoa tak jadi seperti ini lagi.
“Sebenarnya, saya ke depan dan berkongsi mengenai anak di media sosial kerana jumpa ramai pasangan cuba hamil (TTC) yang sudah lama berkahwin tapi tak ada anak.
“Mereka sanggup datang dari jauh dari Singapura juga Sabah dan Sarawak hingga ke restoran saya untuk jumpa anak saya.
“Saya pun tumpang seronok kerana dapat kongsi bahagia. Ada yang sampai beri hadiah barang kemas kepada Gibran… orang bagi kita ambil, tak sedap pula nak tolak dan kami pun bukannya minta sedekah,” katanya.
Mohamad Fakhrullah berkata, emosinya stabil cuma kecewa dan terkilan dengan tindakan pengadu terbabit serta menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Mohd Fakhrullah berkata, dia juga akan mengehadkan perkongsian dan hanya bersiaran langsung dengan anak di media sosial jika ada keperluan.
“Saya sedar ramai yang memerhati tapi kalau baca komen pun, 70 peratus terbuka mindanya dan selebihnya menyokong pengadu.
“Orang mungkin nampak buruk sebab saya pernah bercerai (sebelum ini) hingga ganggu sampai tahap begini, ” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Gibran yang popular di TikTok hingga ada menggelarkannya bayi ‘online’ (dalam talian).
Lantaran itu, ramai ternanti gambar dan video terbaru Gibran yang sering dimuat naik oleh bapanya, Mohamad Fakhrullah selain datang dari jauh untuk berjumpa kanak-kanak berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
