MUNICH, Jerman: Penyandang gelaran, Bayern Munich mara ke suku akhir Liga Juara-Juara menerusi kemenangan 2-1 mengatasi Lazio pada perlawanan kedua kelompok 16 terakhir seterusnya mengesahkan kemaraan 6-2 secara agregat.
Robert Lewandowski menyempurnakan penalti sebelum hantaran lambung penggantinya pada babak kedua, Eric Maxim Choupo-Moting menggandakan kelebihan pasukannya.
“Kemenangan ini amat penting buat kami. Ia ada dalam DNA kami yang mahu menang setiap perlawanan,” kata pemain tengah Bayern, Joshua Kimmich kepada Sky.
“Kami bermain dengan yakin, walaupun ia bukan persembahan terbaik dan ia menjengkelkan kerana kami melepaskan gol.”
Laluan mereka ke kelompok lapan terakhir menyaksikan Bayern mengatasi rekod Barcelona dengan 18 kali penampilan di suku akhir Liga Juara-Juara sejak kejohanan itu dijenamakan semula daripada Piala Eropah.
Mereka juga melebarkan rekod tanpa kekalahan dalam Liga Juara-Juara kepada 19 perlawanan sejak dua tahun lalu.
“Kami memerlukan persembahan baik dan kami tersingkir daripada kejohanan dengan permainan positif,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi kepada Sky.
“Sebahagian pasukan tidak boleh ditentang: Bayern satu daripadanya.”
Ketika skuad berkenaan ketinggalan 4-1 selepas perlawanan pertama, Inzaghi memilih untuk merehatkan penjaring terbanyak Ciro Immobile manakala pemain dengan ketinggian 1.94 meter, Vedat Muriqi memulakan saingan selaku penyerang utama.
Kapten Bayern yang juga penjaga gol Jerman, Manuel Neuer diketepikan kerana demam ketika pemain kurang berpengalaman, Alexander Nuebel memulakan perlawanan ketiganya sejak permulaan musim. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




