Kandang ternakan haram atas rizab jalan dirobohkan

Kandang ternakan haram atas rizab jalan dirobohkan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kandang ayam, itik dan kambing yang dibina secara haram di atas rizab jalan awam dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi bersepadu di Taman Golden, Jalan Ipoh, di sini, semalam.

DBKL dalam kenyataan berkata, operasi itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan Alam Flora Sdn Bhd.

“Sebuah struktur kandang ternakan haiwan (ayam, itik dan kambing) yang dibina tanpa kelulusan dikenakan tindakan roboh di atas kesalahan membina struktur tambahan hingga menutup longkang awam, jalan dan laluan awam,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tindakan dilaksana mengikut Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Semua sisa struktur yang diroboh sudah dilupuskan oleh DBKL selepas tamat operasi dan haiwan ternakan dipindahkan ke Unit Vektor Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi lanjut,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan daripada semasa ke semasa.

Katanya, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dan sebarang aduan dipautan https://adukl.dbkl.gov.my/.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top