Munich: Harry Kane tak sabar bertemu bekas pemain Bayern Munich Robert Lewandowski dalam aksi Liga Juara-Juara di Barcelona, pada awal pagi Khamis ini.
Namun, perlawanan itu boleh menjadi mimpi ngeri buat tuan rumah selepas Kane membuktikan ketajamannya dengan meledak hatrik ketika Bayern menewaskan Stuttgart dalam aksi Bundesliga, Sabtu lalu.
Walaupun menjaringkan 10 gol dalam sembilan perlawanan sebelum berdepan Stuttgart, kapten England itu dikritik susulan terlepas beberapa aksi penting tetapi dia membalasnya dengan cemerlang bagi menutup mulut pengkritiknya.
Bayern yang kembali bangkit selepas hambar sejak akhir-akhir ini, tampak sudah sedia berdepan Barcelona. Perlawanan itu bakal menyaksikan pertemuan semula penyerang Lewandowski dan ketua jurulatih gergasi Bavaria itu, Hansi Flick.
Kane pula berkata, dia tak sabar menentang penyerang Poland itu yang dianggapnya masih berbisa.
Bercakap kepada Sky Sports semalam, pemain berusia 31 tahun itu berkata: “Robert penyerang hebat, antara yang terbaik dalam generasi saya. Ia akan menjadi perlawanan istimewa.
“Ramai daripada kami sangat mengenali jurulatih mereka. Kami menjangkakan lawan sama ketika menentang Stuttgart yang mahu merampas bola dan menekan kami sepanjang perlawanan. Ia akan menjadi aksi sengit tetapi kami akan menghadapinya.”
Selepas berdepan Blaugrana, Kane akan kembali ke aksi Bundesliga pada 27 Oktober menentang VFL Bochum.
© New Straits Times Press (M) Bhd

