Kapten Azhar nafi cuba 'overshadow' persembahan Ella

Kapten Azhar nafi cuba 'overshadow' persembahan Ella

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suami kepada Ratu Rock Negara, Ella iaitu Kapten Azhar Ghazali menerima teguran dengan baik apabila kemunculannya di samping isteri di pentas konsert didakwa ‘overshadow’ hingga mengganggu fokus kepada persembahan utama.

Azhar, 58, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rockqueen berkata, dia mengambil segala pandangan yang diberikan oleh netizen termasuk peminat isterinya secara positif demi kebaikan bersama.

Menurutnya, pada masa sama, dia tidak menafikan dirinya juga sedang berusaha memperbaiki mutu persembahan dengan mengikuti kelas vokal.

“Saya sentiasa positif, tapi dalam masa sama saya hormati pandangan orang terdekat. Netizen ini macam-macam. Saya hargai pandangan Ella dan Datuk Acis (pengarah muzik). Saya ambil kelas vokal untuk perbaiki kekurangan.

“Tujuan saya adalah untuk menghargai Ella dan memeriahkan persembahan tanpa ada niat nak ‘overshadow’. Saya ada kerjaya saya sendiri,” katanya pada sidang media Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru di Rumoh Mekda, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 60, tampil mempertahankan suaminya sambil menegaskan kehadiran Azhar banyak membantu dari segi idea serta nasihat dalam menjayakan sesebuah konsert.

“Saya okay, saya senang bekerjasama dengan Kapten (suami). Dia banyak bantu dari segi idea dan nasihat. Saya tak kisah dia di atas pentas, tiada isu sensitif.

“Dia sangat sporting dan bagi saya semangat. Tanpa idea mereka semua ini, konsert ini mungkin tak akan jadi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top