Kastam rampas 11.3 juta batang rokok haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Selangor : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas 11.3 juta batang rokok pelbagai jenama yang bernilai kira- kira RM2.3 juta dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM7.7 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya berjaya mengesan modus operandi sindiket menyeludup rokok haram dengan memindahkan dari kontena ke lori di tempat tersembunyi bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Beliau berkata, hasil risikan selama dua hari, empat lori dengan muatan rokok haram itu berjaya ditahan pada 18 November lalu oleh Unit Siasatan Dalaman dan Unit Siasatan Frod Perdagangan serta Cawangan Integriti Ibu Pejabat Kastam di Jinjang, Batu Caves dan Kepong.

“Rokok seludup yang disembunyikan dalam kontena itu mungkin diisytiharkan sebagai kontena ‘terbang’ atau kontena kosong tanpa barang yang menyebabkan ia terbiar tanpa dituntut untuk tempoh tertentu.

“Tetapi di dalam kontena itu, mereka mungkin menyembunyikan barang lain untuk mengelak dan terlepas daripada pemeriksaan kastam,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Latif berkata, tiga leaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 32 hingga 42 tahun telah ditahan kerana disyaki memiliki barang larangan import itu.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan untuk kesalahan pertama boleh dikenakan denda minimum RM100,000 atau maksimum RM500,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Kami memohon bantuan orang awam untuk bersama memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain- lain yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam terdekat disamping identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

 

ZA137 Malay News

National Desk