Kerajaan Perpaduan sedang diuji pihak amal politik 'talam dua muka' – Ketua AMK

am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata Kerajaan Perpaduan kini sedang diuji oleh pihak yang didakwa mengamalkan politik ‘talam dua muka’ dan meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat serta negara.

Beliau mendakwa bahawa pihak tertentu ‘berselingkuh secara terbuka’ ketika kepimpinan negara sedang berusaha membina semula keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pentadbiran Malaysia.

“Politik curang sebeginilah yang membantutkan agenda reformasi dan usaha untuk memperkukuhkan kerajaan,” dakwanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Muhammad Kamil berkata, sikap pihak tertentu yang didakwa terlalu ghairah mengejar kepentingan politik sendiri sehingga mengatasi kepentingan rakyat dan negara, tidak wajar dipandang ringan.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih menunjukkan jiwa besar dengan terus menjalankan tanggungjawab dan tampil di hadapan rakyat demi menjaga maruah perjuangan serta kestabilan negara.

“Tatkala dada kita dipasak sembilu dan ditikam bukan saja dari belakang dan hadapan, Perdana Menteri kita masih berjiwa besar serta terus mengukir senyuman di hadapan rakyat demi menjaga maruah perjuangan dan kestabilan negara.

“Keadaan itu seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak mengutamakan percaturan politik sehingga mengganggu agenda reformasi dan kestabilan pentadbiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top